Anwar ingkar nasihat Agong, kata PAS

Pemimpin PAS Pusat Che Abdullah Mat Nawi berkata kenyataan Anwar Ibrahim hanya strategi politik murahan pemimpin PH untuk mempengaruhi pengundi di Sabah yang akan mengundi Sabtu ini.

PETALING JAYA: Tindakan Anwar Ibrahim terus bermain politik dengan pengumuman mendapat sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan jelas menunjukkan presiden PKR itu ingkar nasihat Agong supaya pemimpin parti tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu ketika rakyat masih berdepan Covid-19.

Pemimpin PAS Pusat Che Abdullah Mat Nawi turut menyifatkan dakwaan Anwar konon beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen Melayu-Bumiputera sebagai palsu.

“Dakwaan beliau mendapat sokongan kuat majoriti ahli Parlimen Melayu, Bumiputera untuk menyokong PH adalah dakwaan palsu kerana pimpinan Melayu Bumiputera amat sedar dan mengenali PH yang diberi peluang mentadbir negara selama 22 bulan.

“Malah, rakyat juga mengenali PH secara sungguh-sungguh dengan pengalaman 22 bulan itu,” kata ahli Parlimen Tumpat itu kepada FMT.

Beliau juga tidak menolak, kenyataan Anwar hanya strategi politik murahan pemimpin PH untuk mempengaruhi pengundi di Sabah yang akan mengundi Sabtu ini.

“Oleh kerana ‘mood’ rakyat Sabah begitu tinggi untuk memastikan kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas PRN nanti adalah kerajaan yang bersama dengan persekutuan demi untuk kebaikan rakyat Sabah, PH terpaksa membuat kenyataan begitu supaya pengundi memberikan undi kepada Warisan.

“Ia strategi sangat dangkal dan mudah dibaca yang sudah tentu tidak akan mempengaruhi pengundi Sabah, apatah lagi kenyataan ini dibuat oleh Anwar yang sudah beberapa kali membuat kenyataan tidak tertunaikan seperti langkah Kajang, September 16 dan sebagainya,” katanya.

Beliau menyeru rakyat Sabah supaya tidak termakan dengan permainan PH dan terus menyokong pembentukan kerajaan baharu yang mendokong kerajaan pusat.

Hari ini Anwar mengumumkan mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Agong.

“Pada saat ini kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya pada sidang akhbar di ibu negara sambil memaklumkan beliau akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sebelum ini memberi peringatan tegas kepada ahli politik, kerana yakin rakyat akan terus erat, bersatu-padu, dan bersepakat jika tidak disogok dengan api permusuhan dan perpecahan.

Dalam titah diraja sempena pembukaan penggal ke-3 Parlimen ke-14 pada 18 Mei lalu, Sultan Abdullah bimbang polarisasi kaum masih wujud ketika ini, dan mahu sebarang bentuk provokasi, serta fahaman dan nilai yang bertentangan dengan norma, adat, dan undang-undang dibendung “sebelum ia merebak dan menjadi barah”.

“Biarlah perpaduan dan keharmonian bermula di Dewan yang mulia ini.

“Beta ingin menasihatkan supaya tidak mengheret negara sekali lagi ke kancah politik yang tidak menentu, ketika rakyat jelata masih berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang cukup sukar akibat pandemik Covid-19 ini,” kata Sultan Abdullah.