Bersih beri amaran SPR mungkin disaman jika pesakit Covid-19 tak boleh undi

Bersih 2.0 berkata, hak warganegara untuk mengundi termaktub di bawah Perkara 119 (1) Perlembagaan Persekutuan.

PETALING JAYA: Bersih 2.0 berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh dikenakan tindakan undang-undang jika ia gagal membantu pesakit Covid-19 mengundi di Pilihan Raya Negeri Sabah Sabtu ini.

Pemantau pilihan raya itu berkata, hak warganegara mengundi termaktub di bawah Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan dan tiada menteri atau Kabinet boleh menafikannya.

Katanya, SPR bertanggungjawab memudahkan proses mengundi untuk pesakit Covid-19 dan ia dapat dilakukan melalui pengurusan khas yang membolehkan pesakit mengundi dari wad hospital.

Ini sejajar garis panduan SPR untuk membendung penularan Covid-19 ketika pilihan raya, yang menyatakan pesakit Covid-19 tidak dibenarkan keluar hospital bagi tujuan mengundi.

“Bersih 2.0 berpandangan sekiranya SPR gagal membantu pesakit Covid-19 mengundi di PRN Sabah pada Sabtu ini, SPR boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana tidak memenuhi tanggungjawab kepada pengundi.

“Selain itu, pegawai pilihan raya yang sengaja menghalang mana-mana pengundi daripada mengundi akan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

“Bersih 2.0 bersedia memberi bantuan guaman kepada mana-mana pesakit Covid-19 yang dinafikan hak untuk mengundi pada Sabtu ini. Mereka yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi kami di e-mel [email protected] selepas 26 Sept.”

Bersih juga yakin dengan kemampuan petugas barisan depan dan pegawai kesihatan untuk memastikan ratusan pesakit Covid-19 boleh mengundi dengan selamat.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pesakit positif Covid-19 dan sedang dirawat di hospital tidak dibenarkan mengundi Sabtu ini.

Beliau berkata, pengundi biasa, individu yang mempunyai gejala dan mereka yang tinggal di pusat kuarantin boleh mengundi, tetapi pesakit positif Covid-19 tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah