3 kematian Covid-19, 147 kes baharu

PETALING JAYA: Tiga kematian akibat Covid-19 dicatatkan hari ini dengan bilangan kes baharu terus meningkat kepada 3 angka iaitu 147.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 133 kematian dicatatkan setakat ini.

Daripada 147 kes baharu, 134 dilaporkan di Sabah meletakkan negeri itu kekal mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 770 pesakit sedang dirawat di hospital ketika ini.

“Daripada 147 jangkitan baharu hari ini, 143 penularan tempatan dan 4 kes import,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini 8 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 2 memerlukan bantuan pernafasan.

Manakala, 39 pesakit dilaporkan pulih hari ini.

Kes positif direkodkan di Malaysia sehingga kini berjumlah 10,505 dan kes sembuh 9,602 secara keseluruhan.

Noor Hisham berkata, daripada 143 penularan tempatan, 119 membabitkan warganegara dan 24 bukan warganegara.

3 kematian

Di Sabah 134 kes direkodkan dengan 105 daripada kluster Benteng LD, kluster Laut (8), kluster Bangau-Bangau (8), (2) kluster Pulau, (5) kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI), (3) kes saringan petugas kesihatan di Hospital Semporna, (2) kluster Udin, iaitu kluster baharu di Tawau, (1) kes saringan tahanan di ibu pejabat polis daerah (IPD).

Di Kedah 4 kes kluster Sungai, 1 kes saringan komuniti yang melibatkan warganegara. Selangor 2 kes, 1 kes saringan masuk kerja yang melibatkan warganegara, 1 kes saringan kontak rapat kepada kes ke-10,286.

Manakala di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1 kes dilaporkan.

Sementara itu, di Kelantan terdapat 1 kes saringan di pintu masuk antarabangsa (PMA) dari Sabah yang melibatkan warganegara, meletakkan negeri itu kembali mempunyai kes aktif selepas sekian lama berada dalam zon hijau

Bagi kematian ke-131 merupakan perempuan warga Indonesia berumur 48 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan darah tinggi.

“Kes mula mengalami gejala lemah badan, muntah, batuk dan demam pada 14 September. Kes dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Tawau, Sabah pada 18 September dalam keadaan separa sedar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) pada 19 September. Beliau disahkan meninggal dunia pada hari sama pada 10.20 malam. Saringan didapati positif pada 22 September,” katanya

Bagi kes kematian ke-132 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 54 tahun.

“Kes mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, Sabah pada 18 september bagi gejala demam, batuk dan sukar bernafas. Keadaan kes didapati semakin merosot dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada 20 September di mana kes dimasukkan ke ICU. Kes disahkan meninggal dunia pada 22 September pada 6.55 petang. Pada 22 September, saringan Covid-19 didapati positif,” katanya.

Bagi kes kematian ke-133 merupakan lelaki warga Malaysia berumur 72 tahun dengan latar belakang penyakit strok.

“Kes dikesan sebagai kontak rapat kepada kes ke-9,124 (telah meninggal dunia) yang merupakan kes positif dalam kluster Tawar. Kes tidak bergejala, dikesan positif pada 19 Ogos dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar. Keadaan kes didapati merosot dan dipindahkan ke ICU dan disahkan meninggal dunia pada 23 September jam 3.40 pagi,” katanya.