Ketahui Fungsi 5 Jenis Limau Dalam Masakan

Kita selalu menggunakan limau dalam masakan, selain untuk dibuat minuman dan masakan, limau juga sering digunakan untuk menghilangkan bau hanyir ikan.

Ada pelbagai jenis limau yang biasa digunakan iaitu limau Kasturi, Nipis dan Lemon. Tetapi, selain tiga limau ini ada lagi dua jenis yang juga biasa digunakan.

Jom kita lihat dan ketahui fungsi dan penggunaannya dalam masakan.

Limau purut sering digunakan dalam masakan untuk memberi aroma segar.

LIMAU PURUT

Berkulit tebal, menggerutu dan berwarna hijau kekuningan atau hijau tua, limau ini mempunyai isi berwarna putih dan tidak mempunyai banyak air.

Selain airnya, kulit limau purut juga sering digunakan dalam masakan untuk memberikan aroma pada masakan seperti kuih dan pudding.

Namun harus diingat, semasa memarut kulit limau jangan parut sampai ke bahagian putih kerana bahagian ini pahit. Airnya juga mampu menuteralkan bau hanyir pada makanan laut, ayam serta daging.

Lemon sering digunakan dalam membuat kek, biskut dan kuih.

LEMON

Mempunyai ramai peminat kerana khasiatnya yang banyak. Berwarna kuning terang dan berkilat, bentuknya bujur dengan panjang lebih kurang 5-7cm, lemon mudah didapati.

Seperti limau purut, jus lemon juga digunakan dalam minuman, masakan dan kuih muih untuk rasa dan aroma yang segar selain boleh menghilangkan bau hanyir.

Parutan kulitnya juga kerap digunakan dalam membuat biskut, kek dan kuih. Jus lemon juga dapat membantu hirisan buah seperti pisang dan epal tidak berubah warna coklat kehitaman.

LIMAU KASTURI

Bersaiz kecil lebih kurang 2-2.5cm, limau ini berkulit nipis dan berwarna hijau kekuningan. Isinya berwarna kuning, sangat masam dan jusnya memberikan rasa segar pada ikan bakar dan sambal serta memberikan rasa masam dalam makanan dan minuman.

Limau nipis sering digunakan dalam semua jenis masakan.

LIMAU NIPIS

Limau ini paling dikenali ramai dan boleh digunakan dalam semua jenis masakan. Limau nipis berkulit keras dan berwarna hijau tua serta sedikit kuning. Bersaiz sebesar bola pingpong, limau nipis mempunyai fungsi yang hampir sama dengan lemon. Oleh sebab itulah, ia sering menjadi pengganti lemon dalam masakan.

LIMAU BIASA

Limau ini besar besar sedikit dari limau kasturi, kulit warna hijau gelap dan sedikit kekuningan bila dimasak. Saiznya lebih kurang 3-4cm. Selalunya ia digunakan dalam masakan yang berasaskan makanan laut.

Ia juga digunakan sebagai penyedap rasa dalam sambal, sup dan soto. Malah, limau biasa mempunyai aroma tersendiri dalam menyedapkan makanan. Untuk mendapatkan lebih banyak jus, plilihah limau yang tua dan besar.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]