Ku Nan selesai tuntutan cukai RM57 juta

Lembaga Hasil Dalam Negeri berkata Tengku Adnan Tengku Mansor berhutang sebanyak RM57.2 juta dari 2012 hingga 2017.

KUALA LUMPUR: Bekas menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor secara damai menyelesaikan kes saman yang difailkan oleh kerajaan untuk menuntut cukai pendapatan sebanyak RM57.2 juta daripada beliau yang tidak dibayar.

Peguam S Saravana Kumar, yang mewakili Tengku Adnan atau Ku Nan, memberitahu perkara itu kepada pemberita selepas kes berkenaan disebut di depan hakim Mahkamah Tinggi Azimah Omar, hari ini.

“Ya, penghakiman persetujuan telah direkodkan. Pihak terbabit telah menyelesaikan (kes) secara damai,” katanya memaklumkan beliau tidak boleh mendedahkan terma penyelesaian itu.

Tengku Adnan turut diwakili peguam S Satharuban, sementara Timbalan Peguam Cara Hasil Hazlina Hussain mewakili kerajaan.

Tahun lalu, LHDN memfailkan saman terhadap beliau untuk mendapatkan semula cukai yang masih terhutang berjumlah RM57.2 juta dari 2012 hingga 2017.

Menurut LHDN, Ku Nan gagal membayar cukai selama 6 tahun.