Malaysia perlu kerajaan, perdana menteri prihatin tangani Covid-19

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah terbukti dapat menangani Covid-19 secara teratur dan rapi.

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah berkata Malaysia memerlukan kerajaan dan perdana menteri yang prihatin ketika negara mendepani masalah penularan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, penularan pandemik itu tidak boleh dikawal dengan baik sekiranya kerajaan tidak stabil.

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sudah terbukti dapat menangani Covid-19 secara teratur dan rapi. Oleh itu, keadaan Covid-19 di negara kita terkawal ketika ini.

“Selepas sahaja diumumkan sebagai perdana menteri, perkara pertama yang beliau (Muhyiddin) lakukan ialah mahu susun cara kita menangani Covid-19. Sebab itu pada awalnya, hanya 2 jurucakap yang boleh bercakap mengenai Covid-19 iaitu Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah kerana kita mahu maklumat yang disampaikan tepat dan sahih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra di Dewan Terbuka Kampung Ulu Putatan dekat hari ini.

Turut hadir Menteri Kanan Pendidikan Radzi Jidin dan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Petagas Arsit Sedi.