Tak tahu rancangan jatuhkan Muhyiddin, tapi Nazri tak terkejut

Mohamed Nazri menjangkakan perkembangan seperti hari ini akan menjadi perkara biasa.

KUALA LUMPUR: Seorang pemimpin Umno akui beliau tidak tahu tentang sebarang rancangan untuk menjatuhkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun beliau tak terkejut dengan kemunculan isu sokongan wakil rakyat.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohd Nazri Aziz menjelaskan kerajaan Perikatan Nasional terbentuk dengan kelebihan yang kecil berbanding pembangkang.

“Bila majoriti tipis benda ini akan berlaku selalu,” katanya kepada FMT.

Selagi situasi itu berterusan, Nazri menjangkakan perkembangan seperti hari ini akan menjadi perkara biasa.

“Bila pembentangan belanjawan nanti, sudah tentu isu ini akan berbangkit lagi,” katanya.

Terdahulu, Anwar pada sidang media mengumumkan dapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” untuk membentuk kerajaan baharu, dengan “majoriti menyokong juga dalam kalangan ahli Parlimen Melayu dan Islam”.

Anwar mendakwa beliau boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif”.

“Saya sebenarnya tidak mengikut sidang media Anwar. Bila ada wartawan hubungi baru saya tahu,” kata Nazri kepada FMT, dan menambah beliau berada di Sabah sejak 8 hari lalu.

Ditanya apakah pendiriannya pada ketika ini, Nazri menegaskan masih bersama Muafakat Nasional.

“Tidak ada sertai Pakatan Harapan,” katanya.

Daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat, BN mempunyai 43 wakil rakyat, PPBM (31), PAS (18), GPS (18), PBS (1), dan STAR (1).

Di samping itu, PH mempunyai 91 wakil rakyat, Warisan (9), dan PSB (2).

Enam ahli Parlimen membentuk kumpulan penyokong Mahathir, dan seorang wakil rakyat Bebas.