137 ditahan ingkar PKPP, 39 di kelab malam

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata dalam Operasi Benteng dijalankan semalam seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 3 penyeludup serta 5 tekong diberkas.

PETALING JAYA: Seramai 137 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) semalam, termasuk 39 yang berhibur di kelab malam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 111 individu dikompaun, 25 direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk aktiviti dalam pub/kelab malam (39), penjarakan fizikal (32), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (25), disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran (14), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (10), keluar dari kawasan PKPD tanpa alasan munasabah (7), tidak memakai pelitup muka (6), dan premis beroperasi tanpa kebenaran (4),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan bermula hari ini individu bukan warganegara yang masuk dari pintu masuk antarabangsa negara perlu membayar caj penuh kuarantin.

“Bagi warga Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan subsidi kos kuarantin. Mereka hanya perlu membayar kos penginapan RM2,100 seperti diputuskan dan dilaksanakan sebelum ini, manakala kos pengoperasian sebanyak RM2,600 kekal ditanggung kerajaan.

“Bagi bukan warganegara pula, mereka perlu membayar caj penuh tanpa subsidi kerajaan pada kadar RM4,700 (RM2,600 caj tetap pengoperasian dan RM2,100 kos penginapan),” katanya.

Katanya, bagi individu ke-2 dan ke-3 yang berkongsi bilik dengan individu pertama, kos penginapan adalah separuh iaitu RM700, manakala bagi anak yang berumur bawah 6 tahun kos penginapan adalah percuma.

Dalam pada itu, Ismail berkata dalam Operasi Benteng dijalankan semalam, seramai 67 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 3 penyeludup serta 5 tekong diberkas.

“Turut dirampas sebauh bot dan 13 kenderaan darat. Daripada jumlah itu, pasukan ATM menahan 8 PATI atas kesalahan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di Ladang Sungai Tengah, Johor.

“Manakala polis menahan 2 PATI atas kesalahan memasuki Malaysia melalui jalan tidak diwartakan dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah di Pengkalan Haram Kebun, Pengkalan Kubor, Kelantan,” katanya.