Ahli Parlimen PKR Malaysia Timur diarah bertolak ke KL, kata laporan

PETALING JAYA: Ahli Parlimen PKR di Malaysia Timur dikatakan mendapat arahan hari ini untuk bertolak ke Kuala Lumpur “untuk membuat persiapan”, lapor akhbar Sin Chew.

Walaupun laporan itu tidak menyebut persiapan apa, dipercayai ia berkaitan dengan Istana Negara membenarkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menghadap Agong.

Anwar sebelum ini mendakwa mendapat sokongan “kukuh” dan “meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk membentuk kerajaan.

PKR mempunyai 2 ahli Parlimen di Sarawak, iaitu Larry Sng (Julau) dan Michael Teo Yu Keng (Miri), serta Awang Husaini Sahari (Putatan) dan Christina Liew Chin Jin (Tawau) di Sabah.

Menurut Sin Chew, Sng sudah berada di Kuala Lumpur manakala Teo sudah diarah berbuat demikian pagi tadi.

Sng ketika ditanya pemberita enggan mengulas perjalanan itu, manakala Teo pula sudah memasukkan pakaian rasmi ahli Parlimen dan songkok dalam bagasinya.