Ahmad Maslan tarik balik rayuan, perbicaraan kes pengubahan wang diteruskan

Ahmad Maslan (kiri) akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 16 Okt ini.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pengubahan wang haram RM2 juta yang dihadapi Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan akan diteruskan seperti jadual pada 16 Okt ini di Mahkamah Sesyen.

Pagi ini, Ahmad menarik balik rayuannya untuk membatalkan 2 pertuduhan pengubahan wang, di mana beliau didakwa gagal mengisytiharkan RM2 juta yang dikatakan diterima daripada Najib Razak dalam penyata cukai 2013 dan memberi maklumat palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguamnya, Atiqah Nazihah Azmi memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil Hussin, pihak pembelaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah rendah yang menolak permohonan Ahmad dan mengarahkan beliau dibicarakan.

Hakim kemudiannya membatalkan rayuan Ahmad.

Atiqah turut memberitahu wartawan, pendengaran di sebuah Mahkamah Tinggi lain bulan lalu menolak permohonan Ahmad untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan beliau dibicarakan.

“Kami memutuskan untuk menarik balik rayuan ini hari ini kerana semakan semula sudah diputuskan.”

Veteran Umno, Shahrir Samad turut berdepan satu pertuduhan pengubahan wang kerana gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib dalam penyata cukai pada 2013.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM5 juta atau dipenjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya.

Dua pemimpin Umno itu antara 80 individu dan organisasi yang dinamakan SPRM menerima RM420 juta, yang dipercayai datang daripada 1MDB.

Agensi anti-rasuah itu mengeluarkan notis kompaun kepada mereka, menuntut mereka memulangkan wang itu.