JPN buka 6 bilik gerakan di Sabah kesan pengundi 2 kewarganegaraan

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Ruslin Jusoh dalam sidang media hari ini memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya boleh melakukan semakan dengan pihaknya dan mengesahkan identiti individu diragui yang hadir pada hari pengundian.

KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuka 6 bilik gerakan di Sabah untuk membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesan pengundi yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan memiliki 2 kerakyatan.

Ketua Pengarahnya Ruslin Jusoh berkata, 6 bilik gerakan itu dibuka di Kota Kinabalu, Papar, Keningau, Tawau, Sandakan dan Kota Maradu.

“Dengan adanya bilik gerakan itu SPR boleh semak terus ke pejabat kita dan sahkan idenditi yang diragui hadir pada hari pengundian tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, tindakan tegas seperti pelucutan kewarganegaraan boleh diambil jika didapati melakukan kesalahan mempunyai 2 kerakyatan.

Selasa lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mendedahkan wujudnya kumpulan memiliki 2 kerakyatan akan masuk secara besar-besaran ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu ini.

Beliau berkata, kumpulan itu tinggal di negara jiran dan masuk ke Sabah untuk mengundi selepas risikan polis mendapati mereka memiliki 2 kerakyatan.

Dalam pada itu, Ruslin berkata Singapura dan Australia antara 2 negara yang menjadi pilihan untuk rakyat Malaysia menukar kewarganegaraan.

Katanya, Malaysia tidak membenarkan rakyat memiliki lebih daripada 1 kewarganegaraan.

Bagaimanapun, menurutnya JPN tidak memiliki pangkalan data khusus untuk mengesan seseorang itu memiliki kerakyatan asing melainkan pihaknya menerima aduan berhubung perkara berkenaan.

“Mereka yang dikesan memiliki 2 kerakyatan boleh dilucutkan kewarganegaraannya selepas JPN berpuas hati dengan bukti dikemukakan,” katanya.

Katanya, JPN akan memulakan siasatan selepas menerima maklumat berhubung kesalahan itu.

Beliau berkata, sejak 1957 hingga Ogos lalu seramai 7,593 rakyat Malaysia dilucutkan kewarganegaraan kerana memiliki 2 kerakyatan.

“Hak mereka sebagai warganegara seperti mengundi, memperoleh aset, kemudahan pendidikan dan kesihatan turut terlucut,” katanya.

JPN menyeru dan menasihati mereka yang mempunyai 2 kerakyatan untuk menyerahkan salah 1 kewarganegaraan.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah