Mayat di dalam tangki: Misteri Kematian Elisa Lim

Lam yang merupakan pelajar berusia 21 tahun, berkelakuan pelik sebelum kematiannya yang misteri.

Tanggal Februari 2013, mayat seorang wanita ditemui terapung di dalam sebuah tangki air hotel yang dikaitkan dengan hotel berhantu di Los Angeles.

Elisa Lam, kematiannya menjadi topik perbualan hangat di seluruh dunia. Tetapi siapakah sebenarnya wanita malang ini?

Elisa atau nama sebenarnya Lam Yi Ho merupakan seorang pelajar dari Universiti Kanada berusia 21 tahun. Pada 2013, beliau memutuskan untuk menjelajah Pantai Barat Amerika Syarikat bersendirian.

Di Los Angeles, Elisa telah mendaftar masuk ke Cecil Hotel. Hotel yang dikaitkan dengan beberapa kejadian bunuh diri dan pembunuhan, malah hotel itu juga dikaitkan sebagai tempat berlakunya pembunuhan bersiri dan dilaporkan berhantu.

Sehari sebelum kehilangannya, Lam dikatakan aktif di media sosial dengan mengemas kini akaun profil Tumblrnya secara berkala. Dia dikatakan telah melawat sebuah Zoo di San Diego pada 28 Januari sebelum mengambil keputusan bermalam di Cecil.

Dia seharusnya berkongsi bilik dengan mereka yang lain tetapi gangguan bipolarnya menyebabkan dia dipindahkan ke satu bilik bersendirian.

Hotel Cecil yang dikaitkan dengan sejarah kejadian misteri masa lalu.

Pada malam kedua dia membuat satu lagi posting di akaun Tumblr miliknya mengenai “creepers” di hotel tetapi tidak pasti akan maksud di sebalik posting tersebut.

Kali terakhir Lam dilihat keluar bersendirian ketika membeli hadiah buat keluarganya dan dilihat berada dalam keadaaan baik iaitu pada 31 Januari, hari di mana dia seharusnya mendaftar keluar dari Cecil. Tetapi dia sudah tidak lagi kelihatan pada hari kejadian.

Kali terakhir ibu bapanya menerima khabar Lam adalah pada 30 Januari.

Menjelang 2 Februari, apabila tidak menerima sebarang berita dari anaknya, ibu bapa Lam telah meminta bantuan daripada pihak polis di Los Angeles sebelum terbang sendiri ke tempat kejadian.

Apabila sampai ke Hotel Cecil, apa yang mereka temui hanyalah barangan milik anaknya yang tidak disentuh. Namun, komputer riba dan telefon milik Lam tidak kelihatan.

Dua minggu kemudian, polis menyebarkan rakaman dari sebuah CCTV di dalam lif yang diambil pada jam 2 pagi 1 Februari lalu.

Berdasarkan rakaman CCTV tersebut, Lam dilihat berkelakuan aneh ketika berada di dalam hotel lif tersebut.

Setelah tiga hari rakaman itu tersebar, hotel tersebut mendapat aduan dari tetamu berkenaan air yang mempunyai bau dan rasa yang pelik.

Pada 19 Feb, seorang pekerja memeriksa tangki air hotel yang berada di atas bumbung dan menemui mayat Lam tanpa seurat benang di badannya. Hasil bedah siasat mendapati, Lam dikatakan lemas dan dakwaan itu berkait rapat dengan penyakit bipolar yang dialaminya.

Pelbagai teori dibuat terhadap kematian Lam, namun tiada sebarang fakta atau bukti yang dapat menyokong teori-teori tersebut. Sesetengah sumber mengatakan bahawa dia dibunuh dan dihumban ke dalam tangki tersebut.

Hasil bedah siasat juga melaporkan terdapat penggumpalan darah beku di salur duburnya yang menguatkan lagi andaian berlakunya penderaan seksual terhadapnya.

Rakaman CCTV menunjukkan saat saat terakhir yang mencetuskan banyak persoalan.

Walau masih banyak persoalan yang perlukan penjelasan namun berkemungkinan besar kebenaran tidak akan pernah terungkap dan terus menjadi misteri.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]