Muhyiddin kecewakan rakyat, gagal lanjut moratorium pinjaman, kata Guan Eng

Lim Guan Eng berkata Muhyiddin Yassin seharusnya mendengar keluhan lebih 6.2 juta peminjam yang tercicir, apabila moratorium pembayaran balik pinjaman tamat khususnya pengundi Sabah yang menghadapi pilihan raya negeri Sabtu ini.

PETALING JAYA: DAP mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengecewakan rakyat di seluruh negara kerana gagal melanjutkan moratorium pembayaran balik pinjaman bank selama 6 bulan lagi ketika mengumumkan bantuan kewangan tambahan RM10 bilion Kita Prihatin semalam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, moratorium pembayaran balik pinjaman akan berakhir 30 September ini dan ia sudah terbukti membantu meringankan beban kepada perniagaan serta isi rumah yang terjejas pasca Covid-19.

“Dia (Muhyiddin) mengatakan 98% permohonan untuk pelanjutan moratorium dan bantuan bank secara bersasar sudah diluluskan, dengan lebih daripada 1.4 juta peminjam dan lebih daripada 380,000 peminjam sudah mengesahkan mereka memerlukan bantuan tersebut.

“Bagaimanapun, jumlah peminjam ini masih jauh lebih rendah daripada 8 juta peminjam individu dan korporat yang akan mendapat faedah daripada lanjutan 6 bulan moratorium pembayaran balik pinjaman bank secara automatik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin mengumumkan inisiatif dan bantuan khusus bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin berjumlah RM10 bilion dalam usaha kerajaan meringankan beban rakyat.

Muhyiddin berkata, Kita Prihatin merangkumi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 (RM2.4 bilion) dan inisiatif Geran Khas Prihatin (GKP) RM600 juta.

Kita Prihatin menyasarkan golongan B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang dan peniaga mikro.

Lim berkata, nilai moratorium pinjaman itu kepada 8 juta peminjam individu dan korporat adalah RM90 bilion, suatu bantuan kewangan yang besar, membantu menyelamatkan mata pencarian, perniagaan dan pekerjaan.

“Manakala, bantuan bank secara bersasar dan pelanjutan moratorium secara terpilih jauh lebih kecil impaknya berbanding pelanjutan moratorium pembayaran balik pinjaman bank 6 bulan secara automatik,” katanya.

Beliau berkata, Muhyiddin seharusnya mendengar keluhan lebih 6.2 juta peminjam yang tercicir, apabila moratorium pembayaran balik pinjaman tamat pada 30 September ini, khususnya pengundi Sabah yang menghadapi pilihan raya negeri Sabtu ini.