Peniaga kecil Pulau Pinang terkesan semula susulan kes baru Covid-19

Kawasan pasar Batu Feringghi lengang tanpa pengunjung pada hujung minggu.

GEORGE TOWN: Ekonomi Pulau Pinang menunjukkan tanda pemulihan apabila sekatan Covid-19 di tarik balik pada Jun. Industri tradisi utama, iaitu pelancongan dan perniagaan makanan, bertambah baik dan hotel mencatatkan kadar penghunian hampir penuh pada hujung minggu dengan kehadiran pelancong tempatan.

Bagaimanapun sepanjang hujung minggu lepas, keadaan tampak muram semula.

Tidak ramai pelancong boleh dilihat di tapak warisan di sini, begitu juga pengunjung di kedai kopi, sementara lalu-lintas di jalan raya agak lengang pada hujung minggu Pulau Pinang yang biasanya dipenuhi dengan pengunjung dari luar.

Sesetengah peniaga menuding ke arah 2 kes baru Covid-19 yang direkodkan di Pulau Pinang pada Ahad, yang kemudiannya dikenali sebagai kluster Ara serta 2 sekatan berasingan di Kedah yang kini memasuki minggu ke-2.

“Setiap Jumaat dan Sabtu, ramai pengunjung dari Kedah datang. Sekarang ada sekatan di Alor Setar dan sebahagian daripada Sungai Petani,” kata pengusaha basikal sewa yang hanya mahu dikenali sebagai Lee.

Seorang lagi peniaga di Lorong Swatow berkata, berita mengenai kluster Ara memberi kesan ke atas ketibaan pelancong ke pulau itu.

Di Batu Feringghi, seorang pengusaha hotel berkata, kadar kehadiran pada hujung minggu jatuh 40%.

“Selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) digantikan dengan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) perniagaan kami pada hujung minggu agak baik, tetapi buat pertama kali angka itu merosot sekarang,” kata eksekutif hotel itu kepada FMT.

Kerusi dan meja kosong di bar tepi pantai di Batu Feringghi.

Peniaga pasar di Batu Feringghi juga menyaksikan “musim kering” dengan 5 daripada mereka merekodkan jualan “sifar” sejak hujung minggu lepas.

“Pada hari yang paling teruk pun kami boleh dapat RM200. Tetapi sekarang kami tutup awal,” kata Md Taufiq, 32.

Katanya, jiran beliau yang menjual jam tangan membuat keputusan untuk tutup kedai kerana tidak mampu membayar sewa dan bil elektrik.

Kedai pakaian sukan Taufiq adalah salah satu daripada jaringan 60 kedai yang terpaksa beroperasi di kedai batu berbanding amalan sebelum ini yang menyaksikan mereka berniaga di bawah payung di sepanjang jalan utama di situ. Semuanya gara-gara wabak Covid-19.

Beliau berkata, kini hanya 35 kedai dibuka dan pengunjung tidak berminat untuk ke kedai.

Peniaga makanan Thai di Air Hitam berkata, penggunaan perkataan “kluster” menghalang orang ramai mengunjungi kedai mereka.

“Apabila tersebar berita angin tentang kes baru Covid-19, tidak ada orang datang. Di Pulau Pinang, hanya ada 2 kes baru, tetapi kenapa ia dikenali sebagai ‘kluster’ begitu cepat?”, soalnya.