Poster Anwar angkat sumpah palsu, kata Pemuda PKR

Pemuda PKR menafikan mereka mengeluarkan poster itu dan memaklumkan logo berkenaan bukan logo rasmi Pemuda PKR.

PETALING JAYA: Pemuda PKR nafi mengeluarkan poster atau mesej mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah perdana menteri esok.

Setiausahanya Ahmad Syukri Razab meminta orang ramai tidak menyebarkan poster palsu itu.

“Logo digunakan pada poster itu bukan logo rasmi Pemuda PKR dan kami percaya ia dihasilkan pihak tidak bertanggungjawab bagi mengganggu proses transisi kerajaan persekutuan yang sedang berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pemuda PKR menjunjung penuh kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong dalam memutuskan isu pemilihan perdana menteri selepas Anwar mengumumkan berjaya memperolehi majoriti selesa bagi membentuk kerajaan persekutuan yang baharu,” katanya.

Semalam, ketua pembangkang itu mengumumkan beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” daripada ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.