Sandiwara: Polis akan rekod keterangan Mohamaddin lepas PRN Sabah

Menurut polis, 72 laporan diterima di seluruh negara terhadap kenyataan pemimpin Warisan Mohamaddin Ketapi yang mendakwa insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013 adalah ‘sandiwara’. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Polis akan merakam keterangan calon Warisan Mohamaddin Ketapi bagi membantu siasatan susulan kenyataannya bahawa pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 adalah sandiwara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, proses rakaman percakapan itu mungkin dilaksanakan selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

“Rakaman keterangan itu akan dilakukanoleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman yang berada di Sabah kerana penugasan sempena PRN.

“Keterangannya akan diambil di negeri berkenaan apabila keadaan mengizinkan,” katanya.

Mior Faridalathrash Wahid.

Beliau berkata, beberapa saksi lain akan turut dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis membuka kertas siasatan berhubung perkara itu dan sebanyak 72 laporan polis diterima di seluruh negara.