Umno akan menang besar jika rancangan Anwar tercapai, kata sumber PH, penganalisis

Dua belas ke 15 ahli Parlimen Umno dikatakan menyokong rancangan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baru.

PETALING JAYA: Umno bakal menjadi pemenang terbesar jika ketua pembangkang Anwar Ibrahim berjaya membentuk kerajaan baru, kata sumber dalaman Pakatan Harapan (PH) dan penganalisis.

Mereka berkata, sebilangan ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dengan harapan langkah itu akan membuka jalan kepada pilihan raya baru yang akan dimanfaatkan oleh parti itu.

Menurut seorang pemimpin PH, setakat ini antara 12 ke 15 ahli Parlimen Umno merakamkan sokongan kepada Anwar, sementara individu dari Sabah dan Sarawak menunggu beliau diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ahli Parlimen Umno menyokong Anwar dengan harapan ia akan membuka jalan kepad pilihan raya baru secepat mungkin dan mereka menyasarkan untuk menguasai kerajaan dengan mandat lebih besar.

“Ini adalah ahli Parlimen yang tidak mahu PPBM mengetuai gabungan kerajaan,” katanya yang enggan dikenali kepada FMT.

Beliau berkata, “persefahaman semasa” yang ada ialah melantik Anwar sebagai perdana menteri, sementara seorang ahli Parlimen Umno sebagai timbalan beliau.

“Ini juga bergantung pada bilangan ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak yang akan menyertai gabungan baru itu.”

Awang Azman Pawi.

Seorang lagi pemimpin PH berkata, pada masa ini Anwar mendapat sokongan 36 ahli Parlimen PKR, 42 dari DAP, 11 Amanah dan 9 dari Warisan, tidak termasuk ahli Parlimen Umno serta Sabah dan Sarawak yang dijangka menyertai beliau.

“PPBM perlu mencari jalan untuk kekal relevan sewaktu tolak-menolak ini berlaku sekiranya ia tidak mahu kecundang,” katanya.

Penganalisis politik Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tempoh beberapa minggu ini penting sewaktu negara menunggu pengumuman baru Anwar selepas beliau menghadap Agong.

Awang Azman bagaimanapun berharap walau apapun gabungan baru yang terbentuk ia tidak akan menatijahkan pilihan raya kilat kerana negara masih terdedah kepada bahaya wabak Covid-19.

“Pilihan raya umum berikutnya hanya perlu diadakan pada 2023. Mari kita tunggu sehingga tarikh itu dan memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan bilangan kes baru, selain memulihkan ekonomi,” katanya.

James Chin

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata, Anwar belum mendedahkan bilangan ahli Parlimen yang menyokong beliau.

“Mereka yang menyokongnya sekarang pun boleh beralih sokongan pada saat akhir,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dengan andaian majoriti ahli Parlimen menyokong Anwar, maka beliau dan Umno akan menjadi pemenang terbesar sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.

“Kebanyakan orang mengetepikan beliau selepas beberapa percubaannya untuk menjadi perdana menteri. Sekarang, jika beliau ada sokongan, maka Anwar akan kembali,” katanya.

Pada sidang media semalam Anwar mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru.

“Sokongan yang saya terima adalah konklusif. Saya tidak bercakap tentang 4, 5 atau 6 (ahli Parlimen yang menyokong). Saya bercakap tentang jumlah lebih besar daripada itu,” katanya.

Istana Negara mengesahkan Agong bersetuju untuk menerima Anwar menghadap semalam, tetapi ditangguhkan kerana Sultan Abdullah mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).