97 laporan polis terhadap bekas menteri pelancongan

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali.

KOTA KINABALU: Polis terima sebanyak 97 laporan terhadap pemimpin Warisan, Mohamaddin Ketapi, berkenaan kenyataannya berkait peristiwa pencerobohan Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali, berkata 62 laporan itu diterima di Sabah, 1 dibuat oleh pejabat kesihatan Lahad Datu, dan 35 di Semenanjung.

“Sebanyak 97 laporan polis diterima berkaitan ceramah diberikan seorang ahli politik yang melibatkan operasi Ops Daulat,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Sebelum ini, dilaporkan Mohamaddin disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Mohamaddin dan beberapa individu lain akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat.

Kenyataan Mohamaddin dalam satu video tular, mendakwa pasukan keselamatan mengebom “kelapa sawit dan rumah”, dan pasukan di darat “berperang dengan ayam dan anjing”, mengundang kecaman pelbagai pihak.

Pada 11 Feb 2013, kira-kira 200 pengganas Sulu memasuki perairan Sabah dan mendarat di Lahad Datu, menyebabkan pertempuran dengan pasukan keselamatan Malaysia yang berakhir dengan kematian 56 pengganas, 10 anggota keselamatan, dan 6 orang awam.

Mohamaddin nafi memperkecilkan pasukan keselamatan mendakwa kenyataannya dipesongkan dan diambil di luar konteks. Presiden Warisan, Shafie Apdal, turut memohon maaf kepada anggota keselamatan atas kenyataan pemimpinnya itu, mengatakan ia secara spontan dan tidak berniat untuk menghina.

Dalam pada itu, Hazani berkata sehingga kini polis menerima sebanyak 171 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya, melibatkan pelbagai kesalahan dan antaranya disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata sebanyak 52 kertas siasatan dibuka.

Polis menyarankan pengundi Sabah mematuhi arahan kerajaan, memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan Kementerian Kesihatan akan menyediakan satu khemah khas bagi pengundi yang bergejala untuk membuat pemeriksaan sebelum mengundi.

“Kepada semua pengundi yang rasa dirinya mempunyai gejala, datang ke khemah khas untuk buat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum jalankan undian dan sebagainya,” katanya.