Bekas ketua menteri Chong selar Warisan ubah nada berhubung lompat parti

Chong Kah Kiat berkata, tidak masuk akal apabila Warisan mengadu tentang pengkhianatan sedangkan parti itu sendiri menerima pembelot selepas pilihan raya umum 2018.

KOTA KINABALU: Bekas ketua menteri Sabah Chong Kah Kiat mengecam Warisan kerana “mengubah nadanya” mengenai perbuatan lompat parti apabila ia tidak lagi memberi keuntungan kepada parti itu.

Dalam temubual bersama Daily Express, Chong, yang juga presiden kehormat seumur hidup Parti Liberal Demokratik (LDP) berkata, tidak masuk akal apabila Warisan merintih tentang pengkhianatan sekarang sedangkan parti itu sendiri menerima pembelot selepas pilihan raya umum 2018, yang membolehkannya menubuhkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, sekiranya Warisan, yang hanya memenangi 21 kerusi pada 2018, tidak menerima Adun Upko dari Barisan Nasional (BN), maka kerajaan yang dipimpin Warisan tidak akan wujud.

“Tengok Warisan. Warisan dapat berapa kerusi? 21 kerusi sahaja pada 2018. Sekiranya Warisan tidak terima Upko yang melompat, mana ada kerajaan Warisan kan?

“Kemudian, apabila Warisan jadi kerajaan, mereka tambah ‘katak’ dari Umno. Berapa ‘katak’ Umno masuk Warisan? Mereka terima dengan bangga, tak mengadu pun.

“Tapi bila sahaja mereka keluar, mereka (Warisan) seolah-olah paling baik, mereka kata mereka dikhianati. Tak masuk akal kan? Ahli politik dan parti harus jujur, jangan temberang orang ramai,” kata Chong, yang bertanding di kerusi DUN Inanam.

Isu pembelotan adalah antara topik hangat dalam pilihan raya negeri (PRN)Sabah, dengan gabungan Warisan Plus menjadikan slogan menolak “katak” sebagai antara fokus kempennya.

Pembelotan sejumlah Adun yang bergabung dengan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman menyebabkan penggantinya Shafie Apdal memohon pembubaran DUN dan mencetuskan pilihan raya negeri esok.