Bimbang penularan virus, Arab Saudi sekat penerbangan dari India

Arab Saudi mencatatkan 331,857 kes Covid-19 dan 4, 599 kematian, kedua-duanya tertinggi di rantau Teluk. (Gambar AP)

DUBAI: Arab Saudi menyekat penerbangan ke dan dari India selain melarang mereka yang mengunjungi negara itu dalam tempoh 14 hari memasuki negara itu, lapor Reuters

Arab Saudi bulan ini membuka semula sebahagian sekatan penerbangan antarabangsa sejak ditutup Mac lalu untuk mengekang penyebaran Covid-19.

Namun, menurut sumber, tidak jelas berapa lama larangan itu akan kekal susulan penularan jangkitan pandemik di India.

Katanya, beberapa pengecualian akan dilaksanakan, seperti penerbangan yang membawa warga India ke India dan penerbangan yang diundang ke negara itu oleh kerajaan.

India, dengan populasi penduduk sekitar 1.4 bilion itu, secara konsisten melaporkan jumlah jangkitan harian tertinggi di dunia, dan mencatat 5,732,518 kes jangkitan dengan 91, 149 kematian akibat Covid-19.

Sementara, Arab Saudi merekodkan 331,857 kes dan 4,599 kematian, kedua-duanya tertinggi di rantau Teluk itu.

Dalam pada itu, kata sumber, sekatan penerbangan dan larangan masuk juga terpakai ke atas Brazil dan Argentina susulan kes di sana.

Tiada penerbangan komersial dilaporkan dari Arab Saudi ke mana-mana negara Amerika Selatan.