BN belum mesyuarat isu tukar kerajaan, MIC tunggu keputusan gabungan

Barisan Nasional belum bermesyuarat mengenai penukaran kerajaan dan hal berkaitan, kata Timbalan Presiden MIC, M Saravanan.

JOHOR BAHRU: MIC hanya menunggu keputusan Barisan Nasional yang belum bermesyuarat mengenai penukaran kerajaan dan hal berkaitan, susulan dakwaan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mendapat sokongan majoriti “meyakinkan”, yang mengundang seruan bubar Parlimen daripada pemimpin parti sekutu, Umno.

“Kita akan tunggu mesyuarat BN untuk membuat sebarang keputusan. Setakat ini, belum lagi,” kata Timbalan Presiden, M Saravanan pada sidang media selepas merasmikan Program Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) hari ini.

Sekutu lama Umno ini sebelum ini membuat kejutan apabila mengumumkan ia menarik balik keputusan menyertai Perikatan Nasional kerana Umno tidak menyertai gabungan itu, dan ia tidak lagi mahu pemimpinnya dianggap sebagai anggota jawatankuasa penaja PN.

Semalam, Ketua Penerangan BN Selangor, Isham Jalil, berkata kenyataan yang dikaitkan dengan Presiden Umno, Zahid Hamidi, mengatakan tidak dapat menghalang wakil rakyatnya menyokong Anwar, isyarat bagi memaksa pilihan raya umum ke-15 diadakan secepat mungkin.

“Keputusan presiden Umno suatu langkah yang bijak dan betul ke arah pembubaran Parlimen dan pilihan raya baru secepat mungkin untuk mengakhiri ‘impasse’ dan ketidakstabilan politik dan ekonomi yang kita hadapi sekarang,” katanya dalam kenyataan.

Selain beliau, Nazri Aziz, mengumumkan akan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jika ia membawa kepada pilihan raya mengejut.

“Zahid betul kerana ramai dalam Umno tidak senang dengan Muhyiddin dan PPBM mengenai cara Umno dilayan,” kata ahli Parlimen Padang Rengas itu.

Saravanan hari ini mengulangi pandangan Zahid, mengatakan sebarang sokongan kepada Anwar diberikan oleh individu, bukannya Umno.