Dr M dakwa Anwar tolak sokongan Pejuang

Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim bertelagah semula.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mendakwa Anwar Ibrahim menolak sokongan Pejuang, parti baru yang diketuai bekas perdana menteri itu, ketika presiden PKR itu mendakwa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Mahathir berkata, ini terbukti dalam sidang media Rabu lalu, di mana Anwar mendakwa “beliau mendapat sokongan semua orang, kecuali Dr Mahathir” menurut laporan The Malaysian Insight.

“Pejuang ditolak (daripada menyertai Anwar). (Anwar) kata semua orang sokong beliau kecuali Dr Mahathir,” lapor portal itu memetik Mahathir sambil menambah Pejuang tidak lagi boleh menyokong Anwar kerana parti itu ditolak sejak awal.

Rabu lalu, Anwar mendakwa beliau mendapat “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Tetapi, beliau tidak mendedahkan jumlah ahli Parlimen yang menyokongnya.

Ditanya jika Mahathir dan bekas ahli Parlimen PPBM antara wakil rakyat yang menyokongnya, Anwar berkata: “Belum. Beliau mungkin memutuskannya kemudian, tapi ketika ini tidak.”

Susulan itu, Mahathir pada Rabu lalu dilaporkan berkata, beliau akan “tunggu dan lihat” jika ini ialah satu lagi episod ketua pembangkang itu membuat dakwaan tidak dapat dibuktikan.

Anwar pernah membuat dakwaan sama pada 2008 yang beliau mempunyai sokongan Parlimen mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan dan mendesak perdana menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa secara aman.