India beri penghormatan kepada penyanyi legenda SP Balasubrahmanyam

SP Balasubrahmanyam meninggal dunia pada 1.04 tengah hari tadi.

NEW DELHI: Selebriti, peminat dan pemimpin politik memberi penghormatan terakhir kepada legenda industri hiburan India, SP Balasubrahmanyam.

Penghibur itu meninggal dunia di sebuah hospital di Chennai pada usia 74 tahun hari ini.

Sripathi Panditharadhyula Balasubrahmanyam yang lebih dikenali sebagai SPB atau Balu, merakam lebih 40,000 lagu dalam 16 bahasa sepanjang kerjayanya selama 5 dekad.

Mendendangkan lagu untuk bintang filem mewakili generasi berbeza seperti MG Ramachandran, Shivaji Ganesan, Kamal Haasan dan Salman Khan, beliau juga bergelar pelakon.

“Anda menjadi suara saya selama bertahun-tahun. Suara dan kenangan bersama anda akan terus abadi dalam diri saya selama-lamanya,” kata bintang filem Tamil, Rajinikanth.

Salman pula sedih dengan pemergian Balasubrahmanyam.

“Dunia seni India akan muram”, kata Perdana Menteri, Narendra Modi.

“Beliau bukan sekadar penyanyi, beliau seorang penghibur. Kehilangan besar buat industri kita,” tulis pelakon Hansika di Twitternya.

Penyanyi dan komposer muzik itu disahkan positif Covif-19 awal bulan lalu. Walaupun ujian pada bulan ini didapati negatif, beliau masih ditempatkan di unit rawatan rapi.

Keadaan kesihatan Balasubrahmanyam semakin merosot dan disahkan meninggal dunia pada 1.04 tengah hari tadi, kata MGM Healthcare dalam satu kenyataan, hospital yang merawatnya.

Balasubrahmanyam dilahirkan pada 1946 di Nellore, Andhra Pradesh.

“Saya sangat mengagumi beliau ketika mendengar lagunya yang mengasyikkan, cintanya terhadap bahasa ibundanya dan penampilan luar biasa serta sangat berbakat,” kata Naib Presiden India, M Venkaiah Naidu dalam kenyataan hari ini.

“Lagu-lagunya dalam pelbagai bahasa menawan hati jutaan peminat. Suaranya akan terus mekar,” kata pemimpin Kongres Nasional India, Rahul Gandhi.