Mahkamah beri Najib 30 hari untuk fail petisyen rayuan kes SRC International

Najib Razak memohon lanjutan masa untuk mengemukakan petisyen rayuan terhadap sabitannya atas 7 pertuduhan rasuah berkait dana RM42 juta milik SRC International.

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memberi masa 30 hari kepada Najib Razak untuk memfailkan permohonan rayuannya terhadap sabitan 7 pertuduhan rasuah berkait dana RM42 juta milik SRC International.

Ia susulan timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul memberitahu panel 3 hakim diketuai oleh Has Zanah Mehat bahawa beliau tidak membantah usul yang difailkan oleh bekas perdana menteri itu.

Peguam Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, berkata, usul itu perlu dibenarkan atas dasar kepentingan keadilan.

“Usul ini dibenarkan mengikut peraturan dalam terma,” kata Has Zanah yang hadir bersama Lee Swee Seng dan Nordin Hassan.

Dalam permohonannya, Najib meminta tempoh 30 hari bermula dari 18 September, sehari selepas peguam bela beliau menerima rekod rayuan daripada Mahkamah Tinggi.

Menurut Peraturan 65 (1) Peraturan Mahkamah Rayuan 1994, sebarang petisyen rayuan mestilah difailkan dalam tempoh 10 hari selepas diserahkan kepada perayu atau dalam jangka waktu lanjutan yang dibenarkan oleh mahkamah.

Najib, yang mengemukakan afidavit bagi menyokong usul itu berkata, peguamnya menerima rekod rayuan sebanyak 112 jilid dan penghakiman setebal 801 halaman pada 17 September.

“Mustahil untuk siapkan petisyen rayuan yang lengkap dan tepat bagi menangani semua isu besar yang disebut oleh hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali,” katanya.

Pada 28 Julai lalu Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara ke atas bekas perdana menteri itu dan mengarahkan beliau membayar denda RM210 juta setelah mendapati beliau bersalah kerana menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang.

Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda, tetapi bekas perdana menteri itu diarahkan mengemukakan jaminan RM2 juta, yang dilakukannya.

Sementara itu, pengurusan kes ditetapkan pada 2 Oktober.