Penjawat awam mengaku tidak bersalah terima suapan RM8,000

Shaikrul Attar Abdullah dituduh mengikut Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

IPOH: Seorang penjawat awam mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 2 pertuduhan menerima dan bersetuju menerima suapan berjumlah RM8,000 daripada seorang peniaga, 3 tahun lalu.

Shaikrul Attar Abdullah, 37, yang ketika kejadian bertugas sebagai pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 10.30 malam di sebuah kenderaan jenis Mercedes Benz di kawasan parkir kenderaan Thumb’s Cafe, Jalan Sultan Abdul Jalil di sini pada 30 Mei 2017.

Tertuduh didakwa secara rasuah menerima sebanyak RM8,000 daripada Fan Kar Weng sebagai upah bagi menutup kes yang sedang disiasat KPDNKK berhubung kesalahan menjual arak tiruan di 2 premis milik individu terbabit, iaitu di Twenty Six Fun Club dan Twenty Six Leisure Lounge di Jalan Sultan Iskandar di sini.

Dia turut dituduh bersetuju menerima suapan berjumlah RM8,000 daripada individu sama pada jam 8.53 malam di Greentown Ipoh, 25 Mei 2017.

Shaikrul dituduh mengikut Seksyen 16(a)(b) dan Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda dengan 5 kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh timbalan pendakwa raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin di hadapan hakim S Indra Nehru, manakala tertuduh diwakili Amirul Ridzuan Hanif.

Terdahulu, Nurul Wahida memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, Amirul Ridzuan memohon mahkamah supaya mempertimbangkan jaminan yang rendah kerana tertuduh adalah anak tunggal yang baru kematian bapa dan kini tiada pendapatan tetap berikutan kes dihadapinya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat dijamin sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan, selain memerintahkan tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada SPRM.

Tertuduh juga perlu melaporkan diri kepada SPRM sebulan sekali sehingga prosiding kes itu selesai.

Mahkamah menetapkan 4 November sebagai tarikh sebutan semula kes.