Piza Cendol – aneh atau enak?

Piza Cendol — resepi pencuci mulut baru yang mesti anda cuba.

GEORGE TOWN: Sebut sahaja perkataan cendol, kita pasti terbayang ais, kacang merah dan gula Melaka. Apa tah lagi jika dimakan pada waktu cuaca panas, sememangnya melegakan.

Tetapi bagaimana reaksi anda apabila mendengar perkataan Piza Cendol?

Bagi kebanyakan orang, ada yang terperanjat, ada yang teruja dan tidak kurang yang mengecam. Malah, mereka mengatakan ini suatu penghinaan kepada kedua-dua makanan ini.

Sebuah syarikat Piza di Penang telah mencipta Piza Cendol yang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Menurut pengasas-bersama US Pizza, Lee Jyh Perng, Piza Cendol adalah makanan pencuci mulut yang terbaik pernah dicipta oleh syarikatnya.

Menurut Lee, sejak diperkenalkan, jualan piza cendol meningkat sehingga 1,000 keping.

Lee berkata, sejak mula dijual pada 3 September lalu, syarikat US Pizza telah menerima tempahan berganda setiap hari.

Piza yang berukuran 23cm dan berharga RM38 itu telah mencapai jualan 1,000 keping pada 23 September.

“Saya tahu, bukan mudah untuk menukar perspektif manusia tetapi selepas percubaan pertama, kami sedar betapa lazatnya piza ini.

“Anda boleh baca pendapat orang ramai di atas talian. Mereka yang mengecam adalah mereka yang belum pernah mencuba piza ini.” jelas Lee.

Malah, Lee berkata tiada sebab kenapa cendol hanya perlu dinikmati dalam keadaan sejuk. Baginya, versi panas seperti piza mereka adalah sesuatu yang enak.

“Piza tidak seharusnya terhad kepada perasa barat sahaja. Ia boleh diadaptasikan kepada citarasa Malaysia juga,” katanya lagi.

Idea mencipta piza bersama cendol ini tercetus apabila Lee dan rakan kongsinya Jeremy Stevens bertemu di kedai Penang Road Famous Teochew Cendul.

Mereka kemudiannya telah bereksperimen selama dua minggu bersama-sama pemilik kedai cendol tersebut sehingga mereka mendapat piza yang benar-benar lazat.

Menurut Lee, pembuatan piza cendol tidaklah sukar. Penyediaan ‘topping’ atau hiasannya lebih mudah dari kebanyakan piza versi barat.

Piza Cendol mempunyai ‘topping’ jagung dilapisi kacang dan cendol di tengah-tengahnya. Ianya boleh dimakan bersama santan dan gula melaka.

Syahirah Hilmi, ‘chef junior’, menunjukkan Piza Cendol di cawangan Penang.

Menurut Lee, mereka hanya mengurangkan sedikit keju kerana ‘mozzarella’ tidak berapa enak jika dicampur bersama santan.

“Sebelum menyediakan piza, kami memasak dasarnya dahulu dengan gula perang agar rasanya meresap ke dalam,” katanya. Dia juga memberitahu bahawa ramuan cendol didapati dari kedai Penang Road Famous Teochew Cendul.

Selain, piza cendol, piza cempedak dan piza durian musang king juga adalah antara jualan yang terbaik mengikut musim di kedainya.

“Piza cempedak adalah piza yang paling laris sebelum ini,” ujar Lee.

Piza cendol boleh didapati di 9 cawangan US Pizza di Lembah Klang dan sembilan cawangan lain di Penang dan Kedah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]