Sarawak waspada Covid-19 kerana ramai dijangka pulang selepas PRN Sabah

Douglas Uggah Embas berkata, ia perlu membentuk “perisai perlindung’ di sekitar Sarawak untuk mencegah penularan Covid-19 di negeri itu.

KUCHING: Sarawak mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah penularan Covid-19 kerana ramai dijangka pulang minggu depan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, kata Timbalan Ketua Menterinya, Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata, Sabah kini ialah zon merah dengan peningkatan mendadak kes baru Covid-19 dan laporan baru-baru ini menunjukkan mereka yang pulang dari Sabah diuji positif virus itu.

“Semalam, kira-kira 500 anggota polis negeri ini dihantar ke Sabah untuk meningkatkan keselamatan dan beberapa ahli politik kanan tempatan juga sedang berkempen di sana,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Selain itu, kita mempunyai orang Sabah pulang ke kampung untuk mengundi dan kemudiannya pulang ke sini.”

Douglas Uggah Embas

Oleh itu, katanya, terdapat keperluan membentuk “perisai perlindung” di sekitar Sarawak untuk mengelakkan penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak itu berkata, walaupun negeri itu tidak mencatat sebarang kes Covid-19 sejak beberapa hari lalu, tidak bermakna ia selamat.

“Kita ada beberapa syarat baru untuk mereka yang pulang dari Sabah, termasuk orang Sarawak. Mereka perlu menjalani kuarantin rumah selama 14 hari dan ujian saringan pada hari ke-2 dan ke-10.”

Katanya, walaupun ini akan menyusahkan mereka, setiap orang perlu mematuhi SOP.

“Kita perlu tegas kerana ini masa dan situasi yang sangat sukar.”