Tiada orang dalam terbabit samun emas di Besraya, kata polis

Pacuan 4 roda mangsa dijumpai dalam keadaan terbakar di Damansara, Petaling Jaya pada Isnin lalu.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan tiada orang dalam terbabit kejadian samun barang kemas dan emas lebih RM3 juta di Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) Isnin lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin berkata, polis menubuhkan satu pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur bagi meneliti kesamaan dan kaitan kes itu dengan beberapa kes samun barangan kemas di seluruh negara.

“Polis Kuala Lumpur sedang melihat kesamaan kejadian di Besraya dan kes sebelum ini di Perak, Pulau Pinang dan beberapa kejadian lain bagi membantu siasatan sama ada wujud pembabitan suspek sama atau tidak,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai maklumat berhubung perkara itu dan masih memburu suspek terbabit.

Katanya, hanya 8 individu selesai diambil keterangan berhubung kes samun itu, termasuk seorang pemandu e-hailing yang merakam kejadian itu.

Dalam kejadian 3.35 petang Isnin itu, seorang jurujual sebuah syarikat pengedar emas dan rakannya cedera selepas pacuan 4 roda yang dinaiki mereka dihalang dan dipecahkan cermin oleh 3 lelaki bersenjatakan parang yang menaiki 2 pacuan 4 roda.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Brickfields, Zairulnizam Mohd Zainuddin dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Kuchai Lama menghala ke Sungai Besi untuk mengedarkan barangan kemas ke kedai emas di sekitar Lembah Klang.

Suspek dikatakan menyamun barangan kemas dan emas lebih RM3 juta, wang tunai RM67,000 serta melarikan kereta mangsa sebelum kenderaan itu ditemui terbakar di Damansara, Petaling Jaya.