Aktivis pendidikan nafi sekolah vernakular halang perpaduan

Parti politik di Sabah bergabung suara dalam kontroversi membabitkan kenyataan seorang timbalan menteri menggesa sekolah vernakular di Malaysia dihapuskan. (Gambar Fail)

KUCHING: Seorang aktivis pendidikan mempertahankan sekolah vernakular daripada dakwaan bahawa ia adalah halangan kepada perpaduan negara.

Presiden Persatuan Lembaga-lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina di Kuching, Samarahan dan Serian, Jonathan Chai berkata, tuduhan tersebut adalah tidak adil.

“Menyedihkan apabila sekolah vernakular sering dijadikan kambing hitam,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, perpaduan negara adalah “isu komplkes” yang dipengaruhi oleh banyak faktor dan tiadanya ruang untuk membuat rumusan mudah.

Jonathan Chai.

Katanya, adalah terlalu naif untuk menjangka rakyat Malaysia hanya dapat disatukan di bawah pendidikan aliran tunggal.

“Sebaliknya” kata beliau, “kita harus memperbaiki masalah asas dan mengetepikan faktor yang menyebabkan perpecahan kaum dalam negara ini, bukannya menyasarkan sekolah vernakular sehingga menjejaskan generasi akan datang.

“Akhirnya, pendidikan menjadi mangsa kerakusan politik.”

Memberi respons kepada rencana yang ditulis oleh ahli psikologi sosial Ananthi Al Ramiah baru-baru ini, Chai berkata, beliau bersetuju bahawa cadangan untuk menghapuskan sekolah vernakular tidak bertanggungjawab.

Dalam rencana itu, Ananthi berkata, cadangan tersebut merupakan “gendang yang dipalu oleh pemimpin Melayu bagi menghapuskan kebolehan pengguna bahasa Mandarin dan Tamil mendapat pendidikan dalam bahasa ibunda mereka”.

Beliau berkata, gesaan itu tidak pragmatik atau tidak menyumbang kepada pembinaan negara.

Chai juga memberi respons kepada kenyataan Ketua Menteri Abang Johari Openg baru-baru ini bahawa 1/3 daripada 60,000 murid yang belajar di sekolah rendah Cina di Sarawak adalah Bumiputera.

Beliau berkata: “ibu bapa Bumiputera menghantar anak mereka ke sekolah Cina kerana mahu mereka mendapat pendidikan paling baik.

“Disebabkan komposisi kaum, sekolah vernakular adalah platform yang baik untuk anak mereka bergaul. Pergaulan yang amat bermakna ini akan menjadi instrumen dalam membentuk masyarakat yang harmoni.”