Kimmy, si comel yang suka tidur di dalam sinki

Bilik air yang mulanya tempat kurungan Kimmy sebagai denda kini, sinki pula menjadi tempat kegemarannya untuk tidur. (Brenda Poh pic)

Dia muncul secara tiba-tiba ke pangsapuri Brenda Poh, dengan wajah comel mengharapkan simpati agar dia dibela.

Namun, memikirkan lima ekor kucing yang sedang dijaga, terlalu banyak dan tidak mungkin buat Brenda mengambil seekor lagi untuk dipelihara. Lalu dia dibiarkan di luar, hanya diberi makan apabila berjumpa.

Tetapi apa yang menarik, setiap kali Brenda atau keluarganya balik ke rumah, dia akan mengekori. Seperti pengawal peribadi dia menyambut mereka dari parkir kereta kemudian berjalan seiring sehingga ke dalam lif dan berakhir di muka pintu kediaman Brenda.

Kimmy dengan pose bersahajanya. (Brenda Poh pic)

Itulah aktivitinya setiap hari. Sehingga akhirnya Brenda menamakan si bulus berwarna putih ini sebagai Kimmy.

Tetapi suatu hari tragedi berlaku. Bapa Brenda menemui Kimmy terbaring lemah di atas jalan dengan kaki hadapan kanannya bengkak dan Kimmy benar-benar tidak berdaya.

Kimmy terus dikejarkan ke klinik haiwan dan mendapat rawatan selama beberapa hari di sana. Tanpa perlu menunggu lama, Kimmy kembali aktif dan bersedia untuk pulang.

“Oleh kerana luka Kimmy perlu dirawat maka ibu menjadi jururawat buat Kimmy.

Tetapi yang menarik, Kimmy begitu rapat dengan bapa. Mungkin kerana itulah juga akhirnya Kimmy menjadi sebahagian daripada keluarga kami,” jelas Brenda.

Kimmy gemar bermain, kadang-kala suka dipeluk.

Aksi comel Kimmy apabila tidur. (Brenda Poh pic)

“Jika kita berbaring di sebelahnya, Kimmy akan naik ke atas badan kita dan berdengkur dengan rasa puas sekali. Malah, Kimmy akan terus berlari bila namanya dipanggil – sungguh bijak bukan!,” ujar Brenda lagi.

Kimmy yang berusia lima tahun ini sangat aktif, tidak boleh duduk diam. Ada saja yang ingin dimainnya. Dia juga akan bermain dengan yang lain tetapi selalu berakhir dengan satu perasaan yang menjengkelkan.

Naluri pemburu Kimmy juga agak kuat. Dia selalu akan cuba untuk melemaskan tikus permainannya di dalam bilik air.

Kimmy suka berkawan dan amat mesra dengan kucing-kucing lain. (Brenda Poh pic)

Kimmy juga suka berkawan dan akan berkongsi makanan dengan kucing lain. Tetapi kadang-kala dia juga ada sifat tamaknya dan apabila tiba waktu makan malam, Kimmy akan selalu melompat ke meja makan.

”Memang sukar menahan wajah comel ini dan akhirnya kami terpaksa berkongsi ikan bersama Kimmy,”

“Kimmy juga sangat mesra dan sukakan perhatian. Kadang-kala bila kita meletakkan tangan di atas kepalanya tanpa menyentuh, Kimmy akan bangun dan menjengkitkan kakinya agar kepalanya sampai ke tangan kita,” kata Brenda.

Kimmy tidak mempunyai katil atau bantal sendiri dan dia gembira untuk melingkar di mana sahaja yang disukainya.

“Rasanya, seluruh rumah ini adalah bilik tidur Kimmy. Selalunya dia akan tidur di sofa ruang tamu dan ruang makan. Tetapi kadang-kala kami akan jumpa dia di dalam sinki di dalam bilik air!,” akhiri Brenda sambil tersenyum.

BERITAHU KAMI TENTANG HAIWAN PELIHARAAN ANDA: Pembaca FMT Ohsem dijemput untuk menghantar gambar-gambar (format landskap) dan video pendek (jika ada) mengenai si comel anda kepada [email protected]. Sertakan sekali butir-butir seperti nama haiwan peliharaan, usia, jenis dan sedikit cerita pendek mengenai mereka.