Sekolah antarabangsa milik kerajaan bercanggah undang-undang, kata ahli akademik

Pensyarah UKM Teo Keong berkata, sekolah kerajaan wajib menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Walaupun ibu bapa mengalu-alukan inisiatif kerajaan Sarawak membina 5 sekolah antarabangsa untuk pelajar di negeri itu, namun seorang pendidik mengingatkan bahawa cadangan itu bercanggah dengan peruntukan dalam Akta Pendidikan.

Baru-baru ini Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg berkata, kerajaan negeri akan mendirikan sekolah menengah antarabangsa bagi melahirkan pelajar yang menguasai bahasa Inggeris.

Persatuan Ibu Bapa Guru untuk Pendidikan (Page) dan Kumpulan Bertindak untuk Ibu Bapa dalam Pendidikan Melaka (Magpie) mengalu-alukan langkah itu dengan berkata, ia membolehkan pelajar bersaing di peringkat dunia.

Namun begitu, profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, pendidikan berada di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan langkah membenarkan sekolah antarabangsa milik kerajaan negeri adalah bercanggah dengan Akta Pendidikan yang menghendaki bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar.

“Dari suatu segi, (cadangan Sarawak) itu tidak betul. Mesti wujud keseragaman dari sudut agensi kerajaan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak sepatutnya mengimport guru British bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di negeri itu.

“Tidak perlu sampai bina sekolah antarabangsa bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, ia boleh dilakukan melalui subjek bahasa Inggeris itu sendiri. Itu lebih baik daripada membina 5 buah sekolah antarabangsa,” katanya.

Setiausaha Page Tunku Munawirah Putra berkata, program dwibahasa (DLP) dan program imersif tinggi (HIP) Putrajaya yang dibentuk bagi mendaulatkan bahasa Melayu dan memperkukuh penguasaan bahasa Inggeris pelajar terhalang oleh sekatan dan bantahan banyak pihak, termasuk dari dalam Kementerian Pendidikan sendiri.

Pengerusi Magpie Mak Chee Kin berkata, pemimpin negara kurang keazaman untuk mengkaji semula sistem pendidikan walaupun mengetahui bahawa ia baik untuk semua.

“Dasar kita ialah jika ada pihak yang tidak mampu mengikuti, misalnya pembelajaran subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, maka orang lain harus mengikut mereka. Sepatutnya ia terbalik,” kata Mak.

Munawirah berkata, sekolah aliran Inggerisperlu untuk melahirkan guru bahasa Inggeris pada masa depan.

“Kemahiran guru bahasa Inggeris kita lebih baik sewaktu mereka dilahirkan oleh sekolah aliran Inggeris kita dulu,” katanya.

Bercakap tentang kemungkinan negeri di Semenanjung mengikut langkah Sarawak, Munawirah berkata, silibus IGCSE (sijil am sekolah menengah antarabangsa) ditawarkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Abang Johari berkata, 2 sekolah antarbangsa akan dibina di Kuching dan setiap satu di Sibu, Bintulu dan Miri.

Pelajar daripada keluarga B40 akan diberikan subsidi penuh, sementara pelajar daripada keluarga M40 diberi subsidi separuh. Manakala itu murid daripada keluarga kaya perlu membayar yuran penuh.