GRS kuasai kerusi baru PRN Sabah

GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan PBS menang di 9 daripada 13 kerusi baru yang dipertandingkan dalam PRN Sabah semalam.

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru yang dipertandingan pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah semalam nampaknya memihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) apabila ia memenangi 9 daripadanya.

Sembilan kerusi berkenaan ialah di DUN Lamag yang dimenangi pengerusi Umno Sabah, Bung Mokhtar Radin; Pintasan (Fairuz Renddan-PN), Pantai Dalit (Jasnih Daya-BN), Tanjung Keramat (Shahelmey Yahya-BN), Tulid (Flovia Ng-PN), Bengkoka (Harun Durabi-PN), Bandau (Wetrom Bahanda-PN), Telupid (Jonnybone J Kurum-PBS), dan Sungai Manila (Mokran Ingkat-BN).

Sementara itu, 4 lagi kerusi baru kesemuanya dimenangi oleh Warisan, iaitu Azhar Matussin di DUN Darau, Juil Nuatim (Limbahau), Mohammadin Ketapi (Segama) dan Rina Jainal (Kukusan).

Penambahan 13 kerusi itu diluluskan Dewan Rakyat pada Julai tahun lalu menjadikan jumlah kerusi DUN yang dipertandingkan pada PRN ini sebanyak 73 berbanding 60 pada pilihan raya umum lepas.

Di Lamag, Bung memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 661 selepas meraih 3,305 undi dalam pertandingan 5 penjuru, manakala di Pintasan, calon Perikatan Nasional (PN), Fairuz Renddan hanya memperolehi majoriti tipis 84 undi untuk menewaskan 5 pencabar lai,n termasuk bekas speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia yang bertanding atas tiket Usno.

Calon BN, Jasnih Daya tidak menghadapi masalah di Pantai Dalit apabila memenangi kerusi itu dengan majoriti 3,794 walaupun berdepan persaingan 8 penjuru, manakala seorang lagi calon parti itu di Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya menang dengan majoriti 1,124 dalam pertandingan 5 penjuru.

Sementara itu, Flovia Ng dari PN mencipta kejutan di Tulid apabila memenangi kerusi itu dengan majoriti 544 selepas memperolehi 2,267 undi, menewaskan 6 calon lain, termasuk daripada Warisan, BN dan PBS.

Pertandingan paling banyak penjuru pada PRN kali ini, iaitu di Bengkoka menyaksikan calon BN, Harun Durabi menang dengan majoriti 1,337 undi mengatasi 10 calon lain, manakala di Telupid, PBS menerusi calonnya, Jonnybone J Kurum berjaya merampas kerusi baru itu dengan majoriti 685 dalam pertandingan 4 penjuru.

Kerusi baru terakhir yang dimenangi GRS ialah di Sungai Manila menerusi calon BN, Mokran Ingkat yang memenanginya dengan majoriti 1,417 menewaskan 5 calon lain.

Dalam pada itu, walaupun dikecam hebat kerana kenyataan berkaitan pencerobohan di Tanduo baru-baru ini, Mohammadin Ketapi daripada Warisan masih mampu menang selesa di Segama dengan majoriti 2,168 selepas memperolehi 4,864 undi.

Beliau yang juga bekas menteri pusat mengatasi 7 calon lain di kawasan itu.

Bekas Adun Karambunai dari Warisan, Azhar Matussin yang berpindah ke Darau pada PRN ini turut menang dengan majoriti 562 selepas meraih 5,805, beliau menewaskan 5 calon lain, calon pilihan daripada BN, Jumat Idris.

Sementara itu di Limbahau, walaupun berdepan isu empangan Papar, calon Warisan, Juil Nuatim menang selesa dengan majoriti 2,523 mengatasi 7 calon lain, termasuk Setiausaha Agung PBS, Johnny Mositun.

Seorang lagi calon Warisan, Rina Jainal pula bernasib baik apabila berjaya memenangi kerusi Kukusan dengan hanya mendapat 10 undi majoriti mengatasi 6 calon lain.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah