GRS perlu buktikan ia berbeza, kata pemerhati

Hajiji Noor dari PPBM dan Bung Moktar Radin dari Umno merupakan 2 nama yang dicadangkan sebagai ketua menteri Sabah yang baru.

KOTA KINABALU: Kempen meyakinkan terhadap Warisan Plus dan kelembapan ekonomi yang memberi kesan besar ke atas kehidupan keluarga berpendapatan rendah dilihat sebagai antara punca utama kekalahan tipis gabungan kerajaan negeri dalam pilihan raya negeri (PRN) semalam.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini berdepan beberapa cabaran termasuk mencapai persetujuan berhubung calon ketua menteri Sabah selepas ini.

Selain itu ia juga harus meyakinkan rakyat Sabah bahawa gabungan longgar itu tidak membawa bagasi silam sewaktu mengambil alih kuasa kerajaan, kata pemerhati.

Peguam Hamid Ismail berkata, kemenangan GRS merupakan petunjuk bahawa wujud kerjasama tertentu dalam aktiviti kempen parti komponennya, termasuk Umno, PPBM, PBS, Star dan PBRS.

Beliau berkata, Warisan Plus tidak lagi mempunyai aura segar alternatif baru sewaktu ia mula-mula muncul dalam pilihan raya umum 2018.

Sementara itu pemerhati lain berkata, GRS melancarkan kempen yang bertenaga dan membangkitkan isu yang menyebabkan Warisan terpaksa bertahan.

Hamid berkata, faktor utama yang menggugat sokongan kepada Warisan adalah kenyataan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama Mohamaddin Ketapi yang menyifatkan percerobohan pelampau Sulu di Tandua merupakan “sandiwara” dan pasukan keselamatan dilihat “berperang dengan anjing dan ayam”.

“Itu kesilapan besar,” katanya.

Bekas pembantu menteri negeri Pang Yuk Ming berkata, kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19 memberi kesan besar ke atas golongan berpendapatan rendah dan keluarga luar bandar, sekali gus menyebabkan Warisan kehilangan sokongan.

“Apabila ekonomi memburuk, terdapat kecenderungan, sama ada betul atau tidak, untuk menyalahkan kerajaan yang memerintah. Apabila ekonomi baik, pengundi akan lebih bersedia untuk mengundi kerajaan,” kata Pang, yang juga merupakan timbalan presiden PCS.

Beliau berkata, Warisan memperoleh keputusan lebih baik di kerusi bandar dan separuh bandar, di mana terdapat banyak keluarga berpendapatan pertengahan, tetapi kalah teruk di kawasan luar bandar yang berpendapatan lebih rendah.

“Bagi orang kampung, ia adalah berkaitan isu ‘susah cari makan’, dan mereka dapati kerajaan tidak berkesan dalam membantu mereka,” kata Phang.

Katanya personaliti calon juga merupakan faktor penyumbang, sekali gus membantu sesetengah calon mengalahkan tokoh daripada parti yang lebih ternama.

“Mereka dikenali pengundi yang percaya bahawa calon Bebas melayan mereka dengan baik dan mereka membalasnya,” kata Pang.

Tugas pertama parti komponen dalam GRS kini ialah mencapai persetujuan berhubung ketua menteri berikutnya. Sebelum pilihan raya, pemimpin Umno dan PPBM saling menuntut jawatan itu.

“PN bersama-sama PBS mempunyai lebih banyak kerusi berbanding Umno. Jadi jelas kerusi itu milik siapa,” kata Phang.

PN menang 17 kerusi dan PBS (7) sementara Umno-BN 14 kerusi.

Pemerhati lain bagaimanapun mempersoalkan sama ada Umno menerima kedudukan itu.

Hamid berkata, cabaran terhadap GRS sekarang ialah membuktikan bahawa ia berbeza dengan kerajaan lepas yang dipimpin oleh BN.

“GRS perlu buktikan bahawa ia adalah kerajan baru dengan gaya kepimpinan baru yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah