Kemenangan di Sabah perkukuh kedudukan Muhyiddin

Kemenangan dalam pilihan raya negeri Sabah merupakan ujian penting ke atas populariti Muhyiddin.

SEMPORNA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang berdepan cabaran terhadap kepimpinannya lulus ujian politik terbesar sejak mengambil alih kerajaan dengan kemenangan tipis dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah, sekali gus membantu memperkukuh kedudukannya.

Penganalisis berkata, kekalahan di Sabah berkemungkinan besar akan menamatkan kerajaan gabungan longgar pimpinannya setelah mengambil alih kerajaan tanpa pilihan raya pada Mac lepas.

Memburukkan lagi keadaan yang dihadapi beliau, hari mengundi jatuh beberapa hari selepas ketua pembangkang Anwar Ibrahim melancarkan langkah untuk menjatuhkan pentadbiran Muhyiddin dengan mendakwa memperolehi sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan baru.

Malaysia berdepan krisis politik sejak tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang turut membabitkan Anwar berikutan konflik dalaman yang berlaku.

Muhyiddin mendapat kuasa dengan mengetuai gabungan yang disokong oleh Umno dan Barisan Nasional (BN) yang pemimpinnya terpalit rasuah.

Pengkritik mendakwa kerajaan beliau tiada keabsahan, selain mempunyai majoriti tipis di Parlimen.

Pilihan raya Sabah diadakan selepas sekutu Muhyiddin melancarkan usaha untuk mengambil alih kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang itu, lalu menyebabkan ketua menteri negeri tersebut mengambil langkah untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Berikutan tempoh kempen yang sengit, gabungan parti yang disokong oleh kerajaan pusat itu berjaya memenangi 38 daripada 73 kerusi yang dipertandingkan, sementara pembangkang menang 32 kerusi dan bakinya dikuasai calon Bebas.

Dalam ucapan di televisyen sejurus kemenangan itu Muhyiddin berkata, “ia menunjukkan rakyat Sabah menaruh keyakinan terhadap calon yang dikemukakan”.

Walaupun kemenangan itu tidak memberi kesan langsung terhadap keseimbangan kuasa di peringkat persekutuan, namun ia merupakan ujian penting ke atas populariti Muhyiddin.

Sekiranya keputusan sebaliknya diperolehi, rakan gabungannya mungkin akan menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan sekali gus memaksa pilihan raya mengejut diadakan.

Namun penganalisis politik Malaysia Bridget Welsh dari Universiti Nottingham berkata, masalah dihadapi Muhyiddin belum berakhir.

“Beliau lulus ujian pertamanya, tetapi tipis,” katanya.

“Masa masih mengejarnya.”

Langkah politik terbaru Anwar menambah tekanan ke atas Muhyiddin, tetapi tidak terlalu menggugat perdana menteri itu setakat ini.

Beliau enggan mendedahkan bilangan ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri, sementara usahanya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong belum berhasil.

Tekan sini untuk berita terkini PRN Sabah