Lokman Adam cadang Salleh Keruak KM Sabah

Salleh Said Keruak menjadi ketua menteri Sabah pada 1994 hingga 1996.

PETALING JAYA: Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Adam hari ini mencadangkan supaya Salleh Said Keruak dipertimbangkan untuk dilantik sebagai ketua menteri Sabah jika Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin tidak dapat membuat keputusan.

Lokman berkata, Salleh mempunyai pengalaman dan cukup matang untuk mentadbir negeri memandangkan beliau juga bekas ketua menteri Sabah dan bekas menteri komunikasi dan multimedia.

“Hendak jaga negeri di bawah bayu ini perlukan seseorang yang berkaliber dan dihormati oleh kawan dan lawan. Salleh adalah calon terbaik dalam kalangan Adun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam, Salleh menang dengan majoriti lebih 4,000 undi di DUN Usukan menewaskan calon Warisan dan Parti Cinta Sabah (PCS).

Terdahulu, Pengerusi BN Sabah Bung Mokhtar Radin berkata, Juhar meminta tempoh untuk menentukan calon ketua menteri.

Bagaimanapun, beliau yang juga ketua Umno negeri berkata keputusan dijangka dicapai dalam masa terdekat.

Salleh menjadi ketua menteri Sabah pada 1994 hingga 1996. Malah beliau juga menjawat tugas menteri komunikasi dan multimedia dari 2015 hingga 2018.

Pada PRN semalam, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terdiri daripada PN, BN dan PBS menang 38 daripada 73 kerusi dipertandingkan sekali gus berjaya menubuhkan kerajaan negeri yang baharu.

Warisan Plus pula memenangi 32 kerusi, manakala bakinya dikuasai calon bebas.