Rohingya desak campur tangan pemimpin dunia, PBB

Sebilangan besar etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar dan Bangladesh untuk mencari kehidupan baru di Malaysia. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Sebuah pertubuhan Rohingya mendesak pemimpin dunia pada perhimpunan agung PBB ke-75 mencari penyelesaian tetap untuk menangani masalah dihadapi mereka.

Dalam kenyataan hari ini, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) mendesak PBB memberi tekanan kepada Myanmar supaya menghentikan serangan terhadap Rohingya dan mengembalikan kewarganegaraan mereka di negara itu.

“Undang-Undang Kewarganegaraan 1982 perlu dipinda bagi memastikan Rohingya diiktiraf di Burma,” kata presiden Merhrom Zafar Ahmad Abdul Ghani.

Beliau turut meminta Majlis Keselamatan PBB memantau perlanggaran hak asasi manusia di Arakan dengan menghantar misi pengaman ke Myanmar.

Katanya, organisasi hak asasi kemanusiaan antarabangsa mesti dibenarkan memberi bantuan segera kepada Rohingya, terutama makanan, perubatan dan tempat tinggal.

Persatuan itu juga menggesa negara lain menghentikan hubungan ekonomi dengan Myanmar. Ini termasuk negara yang kini menerima pelarian Rohingya, seperti Bangladesh, Malaysia, Indonesia, Thailand, Pakistan, Arab Saudi.

“Kami perlukan campur tangan negara lain supaya kami dapat pulang dengan selamat, dengan kewarganegaraan kami dikembalikan dan hak dijamin.”