Agong stabil selepas keracunan makanan, cedera buku lali

Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah turut menasihati rakyat menjaga kesihatan diri masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan kerajaan dan tatacara kebiasaan baru berikutan situasi semasa jangkitan virus Covid-19 yang kian meningkat.

PETALING JAYA: Istana Negara hari ini menjelaskan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sudah menjalani rawatan keracunan makanan dan intervensi serta dinasihatkan menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN).

Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, rawatan keracunan makanan itu bermula apabila Sultan Abdullah dimasukkan ke IJN pada malam 21 September lalu.

Manakala, rawatan intervensi pula dilakukan susulan penimejan MRI pada 22 September lalu menunjukkan kecederaan dialami oleh Sultan Abdullah ketika bersukan.

“Seperti sedia maklum, Agong sangat aktif berkecimpung dalam beberapa jenis sukan, antaranya polo berkuda, bola sepak, skuasy, hoki dan golf.

“Rawatan intervensi pada sendi-sendi lutut dan buku lali Sultan Abdullah berlangsung dengan jayanya pada 24 September. Agong kini berada dalam keadaan stabil serta tidak membimbangkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Agong juga sudah dinasihatkan menjalani rawatan susulan dengan pengawasan rapi pasukan pakar perubatan IJN, serta turut dimaklumkan akan kembali ke Istana Negara dalam masa terdekat.

“Agong turut menasihati rakyat menjaga kesihatan diri masing-masing dan sentiasa berwaspada serta mematuhi ketetapan kerajaan dan tatacara kebiasaan baru berikutan situasi semasa jangkitan virus Covid-19 di Malaysia yang kian meningkat.

“Sultan Abdullah turut menzahirkan kegusaran berikutan peningkatan kepada sebanyak 36 kes positif Covid-19 di Semenanjung Malaysia setelah kembali dari negeri Sabah, yang dikesan dari 20 hingga 27 September 2020,” katanya.