Wanita dakwa isteri Samy Vellu fail permohonan jadi pencelah kali ke-2

Vell Paari (kiri) berkata Meeriam Rosaline Edward Paul tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam samannya bagi menentukan kesihatan mental bapanya, S Samy Vellu.

KUALA LUMPUR: Seorang wanita yang mendakwa sebagai isteri bekas presiden MIC S Samy Vellu mengemukakan permohonan baharu untuk menjadi pencelah dalam kes saman S Vell Paari supaya keadaan kesihatan mental Samy Vellu ditentukan oleh mahkamah.

Peguam R SN Rayer yang mewakili Meeriam Rosaline Edward Paul, 59, berkata permohonan itu difailkan pada 22 September.

“Sebelum ini, permohonan Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari ditolak oleh mahkamah. Oleh itu, beliau memfailkan permohonan baharu (untuk menjadi pencelah) dan mahkamah telah menetapkan 8 Oktober untuk mendengar permohonan itu,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di hadapan Timbalan Pendaftar Idamasliza Maarof di dalam kamar mahkamah hari ini.

Turut hadir peguam Tina Ann Francis, yang mewakili Vell Paari.

Pada 11 September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Wong Chee Lin menolak permohonan Rosaline untuk menjadi pencelah dalam kes saman Vell Paari dengan kos RM5,000 selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak.

Pada hari sama, hakim membenarkan permohonan Vell Paari supaya ayahnya menjalani pemeriksaan kesihatan mental.

Permohonan itu dibuat oleh Vell Paari dalam saman yang difailkan terhadap Samy Vellu bagi mengisytiharkan bahawa bapanya tidak mampu mengurus hal ehwal dirinya.

Vell Paari, 58, memfailkan saman terhadap Samy Vellu pada 2 Disember lepas, memohon perintah mahkamah supaya 1 siasatan dilakukan bagi menentukan keupayaan mental bapanya dan sama ada bekas menteri kerja raya itu mampu menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Beliau juga memohon perintah bahawa 1 tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan dapat dijalankan terhadap bapanya mengikut Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001, untuk mengetahui tempoh ayahnya menderita gangguan mental.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berkeupayaan memberi arahan kepada peguam untuk bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) serta untuk menentukan jenis harta yang dimiliki bapanya.

Bekas setiausaha agung MIC itu turut memohon supaya perunding pakar psikiatri neuro dan Ketua “Neurobehavioral Medicine Services” dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.

Jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam C Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.

Sekiranya mahkamah membenarkan semua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta pembayaran gaji bagi ahli jawatankuasa itu.

Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.

Plaintif berkata sejak 2017, beliau telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.