Ejen hartanah bimbang jumlah penipuan hartanah meningkat

Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) berkata aduan meningkat sebanyak 30% dalam tempoh PKP.

PETALING JAYA: Pakar hartanah bersetuju angka penipuan perumahan ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP pemulihan mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Bimbang akan peningkatan jumlah penipuan hartanah dan broker haram dalam industri itu, Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) baru-baru ini mengambil maklum peningkatan sebanyak 30% dalam jumlah aduan yang diterima semasa PKP dan PKPP – kebanyakannya dari orang awam yang ditipu broker haram.

Ketua pegawai eksekutif di syarikat hartanah Rahim & Co International, Siva Shanker, percaya angka itu sebahagian kecil daripada jumlah sebenar.

“Saya pasti ada banyak lagi,” kata Shanker kepada FMT.

“Penipuan meningkat pada waktu sukar begini kerana penipu mengambil kesempatan ke atas perasaan takut, keadaan yang tidak terjamin, dan ketamakan. Mereka reka cerita, dan orang percaya cerita rekaan itu.”

Beliau berkata rakyat kebiasaannya tidak akan membuat aduan kecuali jumlah kerugian yang besar, namun kerugian “kecil” pun amat dirasai ketika ekonomi merosot.

Beliau berkata banyak “guru pelaburan hartanah” berlegar di platform media sosial semasa tempoh kawalan, menawarkan pelbagai kursus tentang pelaburan hartanah yang akhirnya lebih kurang seperti skim cepat kaya.

“Mereka ajar anda macam mana nak buat duit sedangkan mereka pun tak guna strategi itu,” katanya.

MIEA mengenal pasti 13 cara orang ramai boleh ditipu, paling utama adalah memberikan gambaran yang salah atau komisen berlebihan.

Antara penipuan biasa ketika PKP adalah broker haram menjanjikan tawaran lumayan dan kemudian mengutip bayaran deposit sekurang-kurangnya RM1,000 atau RM2,000.

Namun, selepas pembeli menandatangani perjanjian jual beli, mereka dapati ia tidaklah seperti yang dijanjikan, kata MIEA.

Apa yang dikatakan pegangan bebas rupa-rupanya pajakan, dan pembeli dimaklumkan deposit tidak akan dikembalikan.

Terdapat juga kes broker haram mendakwa mereka boleh mendapatkan rumah dalam projek kos rendah kerajaan, tetapi menghilang selepas mengutip deposit.

MIEA berkata tahun lalu sahaja lebih 70 aduan dilaporkan dari April hingga Mei, dengan setiap kes mempunyai beberapa aduan.

Tahun ini dalam tempoh antara Mac hingga Mei, MIEA terima lebih 100 aduan.

“Angka itu hanyalah sebahagian sahaja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Soma Sundram Krisnaswamy kepada FMT.

“MIEA mempunyai 25,000 ejen dan perunding, tetapi kalau saya perlu mengagak berapa banyak ejen haram, barangkali 20 hingga 50 kali lebih banyak,” katanya.

Sementara itu, bekas presiden MIEA, Ernest Cheong, menganggarkan terdapat 10 ejen tidak berdaftar bagi setiap ejen berdaftar.

Selagi kerajaan tidak mewajibkan urus niaga hartanah yang boleh dijalankan menerusi ejen berlesan, broker haram akan terus berleluasa, katanya.

“Inilah hakikatnya. Sekiranya anda berurusan dengan ejen berlesen, mereka tidak akan bawa lari wang anda.

MIEA berkata kurangnya kesedaran tentang perbezaan antara ejen berdaftar dan tidak berdaftar salah satu sebab penipu sangat berleluasa.