Jadikan rogol dalam perkahwinan kesalahan jenayah, Putrajaya diberitahu

Kumpulan wanita menyeru imuniti suami terhadap kesalahan merogol dihapuskan.

PETALING JAYA: Kumpulan hak asasi wanita menggesa kerajaan menjadikan rogol dalam perkahwinan sebagai menyalahi undang-undang dan memperbaharui undang-undang yang “lapuk”.

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) berkata ada keperluan mendesak untuk meminda undang-undang dan membetulkan semua kelemahan.

“Walaupun Seksyen 377CA Kanun Keseksaan terdapat pindaan, masih ada hal yang perlu diperbaiki dalam undang-undang rogol, seperti memasukkan rogol dalam perkahwinan,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif Yu Ren Chung kepada FMT.

Yu berkata, Seksyen 375 Kanun Keseksaan pada masa ini mengecualikan suami yang merogol isteri.

Yu Ren Chung dari Pertubuhan Pertolongan Wanita.

“Pengecualian itu menghantar mesej yang salah, seolah-olah serangan seksual dalam perkahwinan tidak serius. Kita mesti hapuskan imuniti suami yang merogol isteri,” kata Yu.

“Sebahagian besar negara-negara tidak memberikan pengecualian kepada suami. Malaysia nampak seperti ketinggalan,” katanya, sambil menambah undang-undang rogol juga perlu neutral gender supaya semua mangsa rogol boleh mendapatkan keadilan dan remedi menerusi undang-undang.

Sementara itu, bekas presiden Persatuan Peguam Wanita, Goh Siu Lin, kecewa dengan pendirian regresif kerajaan apabila ia enggan menjadikan rogol dalam perkahwinan kesalahan jenayah.

Walaupun kerajaan persekutuan bertukar tangan 3 kali dalam 5 tahun kebelakangan ini, masih banyak yang perlu dibuat mengenai rogol dalam perkahwinan.

Goh Siu Lin dari Persatuan Peguam Wanita.

Goh berkata pengekalan pengecualian bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan, bermaksud hubungan seksual antara suami dan isteri tanpa persetujuan tidak dianggap sebagai rogol.

Goh berkata Seksyen 375A menyatakan mana-mana lelaki yang menyebabkan kecederaan atau ketakutan pada seorang perempuan untuk melakukan persetubuhan boleh dihukum penjara, yang boleh sehingga 5 tahun.

Goh berkata penjara sehingga 5 tahun itu terlalu ringan berbanding hukuman rogol, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

“Intipati rogol atau tiada izin dalam perbuatan seksual itu, tidak kira sama ada antara suami dan isteri.

“Hukuman ringan bagi kesalahan menyebabkan cedera itu menghantar mesej yang salah dan menyahkan kesan pencegahan undang-undang itu,” katanya kepada FMT.

Beliau turut mempersoalkan undang-undang rogol statutori yang tidak konsisten, mengatakan pengantin kanak-kanak juga perlu dilindungi daripada rogol.

“Ia suatu anomali untuk menghukum pelaku atas rogol statutori tetapi dalam masa sama suami kepada pengantin kanak-kanak boleh terlepas.”