Jalur lebar perlahan, ‘memalukan’ sukarkan pertumbuhan, kata kumpulan perniagaan

Shaun Edward Cheah dari Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC) berkata ketaksamaan kelajuan internet antara Malaysia dan negara lain seperti Thailand dan Singapura ‘memalukan’.

PETALING JAYA: Keupayaan internet yang ketinggalan di Malaysia, yang disifatkan sebagai “memalukan”, akan membantutkan perniagaan kerana operasi perniagaan mula beralih ke dalam talian lalu mengekang daya saing negara di rantau ini, menurut sebuah kumpulan perniagaan.

Walaupun Malaysia melaporkan KDNK ke-3 terbesar di Asia Tenggara, baik secara jumlah mahupun per kapita, Indeks Speedtest Global melaporkan kelajuan data mudah alihnya di peringkat serantau ke-6 terlaju dan ke-83 di dunia.

Walaupun kelajuan jalur lebar Malaysia di Asia Tenggara berada di kedudukan yang lebik baik, iaitu ke-3 terlaju, ia sedikit mengelirukan kerana kelajuan WiFi kediaman di Thailand dan Singapura seganda kelajuan purata di Malaysia dan antara yang terpantas di dunia.

Shaun Edward Cheah, pengarah eksekutif Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICC), berkata ketaksamaan ini “memalukan”, mengatakan ia kerana syarikat telekomunikasi kurang melabur.

Beliau berkata isunya kerana tidak “port” tidak mencukupi, menyebabkan kelewatan maklumat, kerana terlalu banyak orang menggunakan sistem pada satu-satu masa.

“Bayangkan plaza tol yang sesak. Sebuah plaza tol yang ada 5 pondok boleh tangani lalu lintas di luar waktu puncak, tetapi akan berlaku kekesakan di waktu puncak.

“Jawapannya ialah kena pasang lebih banyak pondol tol.”

Sementara itu, Richard Record, ketua ahli ekonomi di World Bank Group, berkata kekurangan akses kepada internet berkualiti tinggi di Malaysia membazirkan potensi “kerana bukan senang untuk menulis ‘resume’ di telefon dan tidak mudah untuk bergantung pada sambungan mudah alih untuk berniaga.”

Kelajuan mudah alih yang perlahan memburukkan masalah itu, katanya, dan menamabh ini merupakan trend yang membimbangkan kerana negara mempunyai aspirasi masa depan digital berdasarkan e-dagang, automasi, dan kecerdasan buatan (AI).

Jelasnya, ketersambungan yang boleh diharapkan menjadi semakin penting untuk perniagaan kerana koordinasi, pengurusan manusia, transaksi, dan analisis semakin automatik.

“Ketika internet mendorong kesejagatan dan pendigital, kekangan seperti itu boleh memberi kesan pada daya saing sesebuah syarikat dan negara.”

Serorang felo dari Persatuan Antarabangsa Bagi Menangani Keganasan dan Keselamatan Profesional (IACSP), SL Rajesh, berkata bergantung harap pada ketersambungan yang lemah menyebabkan prasarana sesebuah syarikat tidak kukuh.

“Dalam proses automasi perisian, anda perlukan perkhidmatan internet yang kuat untuk membolehkan AI berfungsi,” katanya. “Sekiranya internet lambat, semua proses syarikat itu juga akan lambat.”

Mereka bersetuju prasarana fiber sedia ada perlu diperbaiki dengan mengoptimumkan sistem semasa bagi meningkatkan kelajuan dan konsistensi di kawasan bandar, dan memperluas jangkauan kabel di kawasan luar bandar.

Cheah berkata teknologi 5G mungkin akan menyebabkan WiFi kediaman kurang menarik kerana kelajuannya yang lebih cepat berbanding jalur lebar, serta menjadi alternatif yang menarik sekiranya kabel tidak dapat dikembangkan atau “port” tidak dapat dipasang.

Katanya, membina menara selular berkemampuan 5G juga kurang menjejaskan alam berbanding memasang kabel dan lebih mudah dari segi mendapatkan kelulusan kawal selia kerana ia projek yang agak kecil.