Keputusan PRN Sabah tak pengaruhi Sarawak, kata pemimpin

Wakil rakyat Sarawak, Fadillah Yusof dan Ali Biju, berkata GPS harus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat untuk mengekalkan sokongan.

KUCHING: Dua pemimpin Sarawak menolak pendapat daripada seorang ahli politik DAP yang merasakan keputusan pilihan raya di Sabah memberi harapan kepada kemenangan pembangkang di Sarawak.

Fadillah Yusof dari PBB, yang juga seorang menteri kanan, berkata sentimen di 2 negeri itu tidak sama dan keputusan di Sabah mungkin tidak akan beri kesan pada pilihan raya Sarawak akan datang.

Seorang timbalan menteri, Ali Biju, pula berkata keputusan di Sabah menunjukkan rakyat mahu pembangunan, sentimen yang dikongsi kedua-dua negeri. Katanya, keputusan itu menunjukkan pemimpin Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin, diterima orang ramai.

Pandangan mereka berbeza dengan Adun Tanjong Batu, Chiew Chiu Sing, yang mengatakan prestasi Warisan Plus, yang meraih 32 daripada 73 kerusi, menunjukkan hampir separuh rakyat Sabah tidak berpuas hati dengan kerajaan persekutuan.

Chiew dalam temubual bersama media pada Ahad berkata ketidakpuasan hati itu akan ternampak apabila pilihan raya Sarawak diadakan.

Fadillah bagaimanapun menepis kenyataan Chiew sebagai cubaan untuk main persepsi.

“Persepsi dan sentimen rakyat Sabah dan Sarawak berbeza, begitu juga di Semenanjung,” kata Fadillah. Katanya, Gabungan Parti Sarawak harus memberikan khidmat terbaik kepada rakyat untuk mengekalkan sokongan.

Ali Biju, yang merupakan Adun Saratok, berkata kerajaan negeri mesti berkhidmat tanpa kompromi.

Dalam pada itu, seorang penganalisis politik juga percaya keputusan PRN Sabah tidak akan beri impak besar pada pilihan raya Sarawak.

“GPS masih popular di Sarawak dan gabungan yang berkuasa itu dijangka akan menang dengan sekurang-kurangnya 2/3 majoriti,” kata Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya.