Permohonan kes saman projek solar hibrid diputuskan melalui penghakiman terus, didengar 5 Nov

Rayyan Radzwill adalah saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes rasuah Rosmah Mansor.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 5 November untuk mendengar permohonan ahli perniagaan Rayyan Radzwill Abdullah supaya kes samannya terhadap bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin diputuskan melalui penghakiman terus (summary judgment).

Saman yang difailkan Rayyan, 41, pada 29 Februari lepas adalah berhubung dakwaan rakan perniagaannya itu gagal membayar baki bayaran RM9 juta atas perkhidmatan yang dilakukan bagi mendapatkan projek solar hibrid bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Ahmad Bache turut menetapkan tarikh sama (5 November) untuk mendengar permohonan Saidi bagi membatalkan saman dikemukakan Rayyan selaku plaintif terhadapnya dan memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan masing-masing pada 13 Oktober.

Terdahulu, hakim itu menolak permohonan Saidi selaku defendan bagi membatalkan sebahagian perenggan dalam afidavit sokongan dan afidavit balasan plaintif (Rayyan) atas alasan isu di dalam kedua-dua afidavit tersebut mempunyai merit untuk didengar bersama permohonan penghakiman terus berkenaan.

Plaintif memohon untuk penghakiman terus bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dimasukkan terhadap defendan. Penghakiman terus ialah mahkamah memutuskan sesuatu kes melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi pada perbicaraan.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, peguam Ravee G Uthirapathy yang mewakili Rayyan berkata sebahagian perenggan yang ingin dibatalkan oleh defendan (Saidi) membabitkan surat persetujuan antara kedua-dua individu itu berhubung projek solar berkenaan.

Peguam Krishna Kumar yang mewakili Saidi pula berkata permohonan untuk membatalkan saman difailkan atas alasan defendan (Rayyan) sepatutnya memfailkan saman terhadap syarikat iaitu Jepak Holdings dan bukannya terhadap anak guamnya.

Dalam penyataan tuntutan, Rayyan mendakwa pada awal 2016, Saidi, 61, telah melantiknya sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid dan sebagai balasan defendan berjanji untuk membayar yuran sebanyak RM10 juta apabila projek berjaya diperoleh oleh defendan.

Dakwa plaintif, pada 10 Dis 2016, defendan telah berjaya memperoleh projek itu dengan nilai kasar projek adalah RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), hasil usaha dan kerja dilakukan oleh plaintif.

Menurutnya, pada 10 Ogos 2017, defendan telah membayar wang sebanyak RM1 juta kepadanya dan sehingga kini baki bayaran sebanyak RM9 juta masih tertunggak dan belum dijelaskan oleh defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut baki bayaran RM9 juta, ganti rugi RM20 juta akibat kehilangan peluang pelaburan, ganti rugi am, faedah dan kos.

Saidi dalam penyataan pembelaan difailkan 6 April lepas menafikan bahawa beliau pernah melantik plaintif sebagai penasihat bagi memperoleh dan menyediakan kertas kerja untuk projek solar hibrid itu selain mendakwa perjanjian untuk projek dimasuki antara Jepak Holdings dengan KPM dan bukan atas kapasiti persendirian defendan.

Saidi juga memfailkan tuntutan balas terhadap Rayyan menuntutnya memulangkan semula wang RM1 juta yang dibayar kepadanya dengan serta-merta.

Rayyan merupakan saksi pendakwaan dalam kes isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor yang berdepan 1 pertuduhan meminta RM187.5 juta dan 2 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid itu.