Remaja 16 tahun bercita-cita jadi bintang terkenal

Walaupun masih remaja, Charmaine Koh sudah pun berada di landasan yang betul untuk merealisasikan impiannya.

KUALA LUMPUR: Di usia 16 tahun, Charmaine Koh sudah tahu apa yang dia inginkan. Dia ingin menjadi bintang terkenal.

Membesar dengan menonton saluran Disney, Mitchie Torres, Shane Gray dan Tess Tyler (Camp Rock), Koh berkata, saluran inilah yang membuatkan dia mula jatuh cinta dengan muzik.

“Camp Rock benar-benar memberi inspirasi kepada saya. Saya ingin menyanyi seperti mereka, bergerak bebas dalam gaya gembira dan menyeronokkan,” ujar Koh.

Perjalanan seni Koh bermula apabila pada usia 11 tahun dan pada 2016, dia menjadi rakyat Malaysia yang termuda meraih tiga pingat emas di World Championship of Performing Arts (WCOPA) di California.

Cinta Koh terhadap muzik bermula semasa menonton filem-filem muzikal Disney.

Kemudian karier seninya bermula apabila dia mengeluarkan ‘track’ terbarunya berjudul Why Don’t You Live? Suaranya yang merdu telah menyerlahkan sentuhan nostalgia yang menyegarkan pada lagu tersebut.

Selain menyanyi, Koh juga boleh menulis lirik. Emosi, kasih sayang, kemarahan yang ada di dalam dirinya akan diterjemah di dalam lirik tersebut.

“Kadang-kadang, melodi akan datang dahulu kemudian barulah liriknya. Selalunya saya akan mendapatkan nasihat dari penerbit saya untuk melihat samada lirik tersebut dapat digilap menjadi lebih baik lagi,” jelas Koh yang berasa amat beruntung kerana lagunya dapat diterima oleh pendengar.

Menyanyi adalah salah satu cara Koh mengekspresikan dirinya.

“Peluang dapat menterjemahkan perasaan dan emosi saya ke dalam lagu yang boleh diterima oleh masyarakat adalah satu kejayaan buat saya.

“Selalunya saya bertanya apa yang orang ramai rasa terhadap lagu saya. Jika mereka dapat merasakan apa yang saya rasa, bermakna saya melakukan perkara yang betul,” jelas Koh lagi.

Bagi Koh, menghiburkan orang lain adalah satu pengalaman yang menakjubkan terutama apabila nyanyiannya dapat dihayati oleh pendengar.

“Dapat mencipta sesuatu yang disukai ramai adalah satu perasaan yang sukar diungkap, ia adalah sangat luar biasa,” jelasnya lagi.

Gadis kelahiran Kuala Lumpur ini masih lagi bersekolah. “Memang sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa, sekolah dan muzik. Terutama sekali sekarang saya berada di tahun akhir sekolah menengah dan akan menduduki peperiksaan besar tidak lama lagi.

Dapat berhubung dengan pendengar melalui muzik adalah satu pengalaman yang sungguh menakjubkan bagi Koh.

“Ada masanya saya akan membuat kerja sekolah dan makan tengah hari di dalam kereta jadi saya dapat membuat latihan tepat pada waktunya. Saya juga tidak dapat selalu keluar dengan teman-teman. Inilah antara yang perlu saya korbankan,” katanya kepada FMT.

Menurut Koh, ibubapanya memberikan sokongan yang penuh kepadanya dan dia amat berterima kasih kepada mereka kerana memberi ruang kepadanya untuk mengejar impian.

“Saya rasa saya sudah sebutkan dahulu jadi ia bukan lagi rahsia, mereka adalah kekuatan saya. Sebenarnya, mereka adalah tulang belakang kejayaan saya,” jelas Koh.

Dengan kebanjiran ratusan remaja yang menceburi industri seni dewasa ini, ia mungkin menjadi cabaran buatnya untuk menjadi sebutir bintang yang menyinar di antara yang lain.

“Saya mahu menyerlah dengan cara yang sihat. Saya mahu masyarakat menerima lagu saya dengan cara yang sepatutnya. Biar mereka menilai sendiri dan saya tidak perlu tergesa-gesa.

“Malah, banyak lagi yang perlu saya lakukan selain menyanyi seperti proses penghasilan, promosi dan pemasaran. Untuk menghasilkan lagu banyak proses yang harus dilalui,” kata Koh.

Koh berterima kasih kepada kedua ibubapanya atas sokongan yang tidak berbelah bagi.

Penyanyi yang berbakat dan bercita-cita tinggi ini berkata, “Dalam masa lima tahun akan datang, saya melihat diri saya menyanyi dan menari di atas pentas yang luas. Berkongsi keinginan dan menceritakan kisah saya kepada semua peminat di luar sana. Itulah yang saya inginkan!”

Koh juga menasihatkan remaja yang tidak pasti akan impian mereka.

“Kejar impian anda. Tidak kira ianya menyanyi, menari atau berlakon. Tiada siapa yang akan melihat anda sekiranya bukan anda sendiri yang menyerlahkannya dahulu. Berbanggalah denga apa yang anda lakukan. Ambil langkah pertama untuk percaya terhadap apa yang anda boleh lakukan dan dapat memberi impak kepada dunia. Ingat, segalanya bermula dari anda sendiri.” akhiri Koh.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]