Jalan, air bersih keutamaan saya, kata Bung

Menteri Kerja Raya Sabah Bung Moktar Radin melapor diri pada hari pertama di kementerian. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin berkata keutamaannya sebagai menteri kerja raya Sabah adalah membina jalan raya dan membekalkan air bersih kepada rakyat negeri itu.

Bung yang juga timbalan ketua menteri berkata, ia termasuk mempercepatkan pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo, yang dijalankan lebih perlahan berbanding Sarawak.

“Itu (projek Lebuhraya Pan Borneo) juga adalah sebahagian jalan raya, jadi ia wajib,” katanya kepada pemberita selepas melapor diri pada hari pertama di kementeriannya hari ini.

“Projek lebuhraya itu di Sarawak sudah mencapai 50% tetapi di Sabah, hanya 18% ke 20%, jadi ia tidak masuk akal walaupun bergerak sama tapi kita ketinggalan.

“Jadi, saya akan memperincikannya bagi memastikan projek itu berjalan lebih cepat dan rakyat dapat menikmati jalan yang baik seperti di negeri lain,” kata beliau.

Bung berkata, kerajaan negeri yang baharu bertekad menunaikan janji selaras manifesto pilihan raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) “Aku Janji”.

Mengulas sama ada Empangan Papar yang menjadi kontroversi akan diteruskan, Bung berkata beliau masih belum mendapat taklimat daripada jabatan air negeri.

Sementara itu, Bung berkata kementerian kesihatan mencadangkan ibu negeri dikenakan perintah sekatan berikutan penularan Covid-19.

“Tiada keputusan dibuat berhubung perkara itu tetapi pihak berkuasa persekutuan boleh menguatkuasakannya jika situasi bertambah buruk,” katanya.

Sehingga semalam, Kota Kinabalu mencatat 98 kes Covid-19, dengan 18 masih aktif.