Mahkamah benar pemilik anjing saman MBPP

Butcho, anjing betina berusia 15 tahun ditembak dengan ubat penenang di Batu Ferringhi pada 2018.

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan pemilik haiwan peliharaan menyaman Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana kecuaian menyebabkan kematian anjingnya dalam operasi tangkapan anjing jalanan di pantai Batu Ferringhi, 2 tahun lalu.

Chendeladevan Kuppusamy, 51, berusaha menyaman MBPP selepas anjingnya, “Butcho”, yang berusia 15 tahun, ditembak dengan ubat penenang oleh penangkap anjing MBPP dan kemudian diseret ke lori majlis itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menggugurkan kesnya yang difailkan pada 30 Jul 2018, atas alasan teknikal, antaranya Butcho adalah anjing yang tidak berlesen.

Chendeladevan, dibantu oleh peguam pro-bono, membuat rayuan ke Mahkamah Tinggi dengan menyatakan anjingnya dilesenkan sejak 2014 dengan mendakwa kecuaian di pihak MBPP.

Hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Wong Hok Chong membenarkan rayuan dan memerintahkan kes itu dibicarakan.

“Perkara ini harus diputuskan pada perbicaraan dan tidak boleh digugurkan dalam tempoh singkat,” katanya ketika memutuskan kes berkenaan. Beliau memerintahkan MBPP membayar kos sebanyak RM4,000.

Chendeladevan diwakili oleh Marcia Lopez sementara Karin Lim mewakili MBPP.

Menurut pernyataan tuntutan Chendeladevan, MBPP dengan niat jahat membawa anjingnya pergi ke pantai awam secara paksa dan kemudian menyebabkan kematiannya.

Beliau juga mendakwa penangkap anjing itu berbohong mengenai lokasi Butcho ketika dia menuntut anjing itu semula.

Ini berlaku selepas seorang pegawai mendakwa anjing itu melarikan diri dari lori dalam perjalanan ke tahanan anjing. Kemudian, pihak ke-3 iaitu pemberi maklumat memberitahu Chendeladevan Butcho sudah mati.

Dia menuntut ganti rugi umum, berat dan teladan serta ganti rugi lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. Dia juga menuntut supaya bangkai Butcho dikembalikan kepadanya.

Pada 28 Feb 2018, kumpulan penangkap anjing MBPP menangkap Butcho di pantai awam Batu Ferringhi berhampiran Golden Sands Resort, sebagai sebahagian daripada operasi menangkan anjing jalanan berikutan aduan serangan oleh anjing liar.