
PETALING JAYA: Dua kumpulan perbankan hari ini memaklumkan pelanggan masih mempunyai masa untuk memohon bantuan daripada pihak bank, bagi mereka yang bermasalah membayar semula pinjaman selepas moratorium berakhir hari ini.
Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) berkata, individu yang tidak memohon bantuan pembayaran semula sebelum 1 Oktober perlu menyambung pembayaran bulanan mereka pada bulan berikutnya.
“Namun, jika peminjam atau pelanggan terjejas tidak dapat melanjutkan pembayaran pinjaman atau pembiayaan mereka dan memerlukan bantuan, mereka masih boleh memohon kepada bank untuk mendapatkan bantuan pembayaran balik.
“Bank menggesa peminjam atau pelanggan yang terjejas bertindak sekarang dan jangan berlengah lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumpulan berkenaan turut menyatakan, industri perbankan turut menawarkan bantuan pembayaran yang disasarkan kepada individu terjejas dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), melalui moratorium bersasar dan pilihan fleksibiliti pembayaran semula.
Malah, kumpulan itu menegaskan industri perbankan menyedari dalam keadaan ekonomi negara yang semakin beransur pulih, ramai peminjam dan pelanggan yang masih mencari haluan mereka dan mengadaptasikan diri di tengah-tengah realiti dan ketidaktentuan ini.
“Sekiranya pembayaran semula ini menjadi cabaran pada bulan seterusnya, peminjam atau pelanggan diberi jaminan pintu untuk membincangkan bayaran alternatif akan sentiasa terbuka.
“Untuk lebih membantu masyarakat supaya memohon bantuan pembayaran semula ini, beberapa cawangan bank terpilih di seluruh negara akan terus melanjutkan operasi mereka pada hari bekerja dan hujung minggu,” kataya.
Katanya, peminjam yang terjejas di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) atau perintah kawalan pergerakan diperketatkan bersasar (PKPDB) boleh mengemukakan permohonan atau menghubungi bank bagi mendapatkan bantuan.
“Industri perbankan sudah mengadaptasikan proses permohonan dan dokumentasi yang lebih mudah bagi pembayaran semula yang disasarkan dan memastikan penerima pelarasan moratorium dan pembayaran semula ini tidak akan tersenarai dalam CCRIS,” katanya.