Nilai Rt Covid-19 di Selangor lepasi paras bahaya

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kes baharu harian dicatatkan antara 10 hingga 15 kes berbanding 2 hingga 3 kes sebelumnya.

PETALING JAYA: Nilai kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di Selangor meningkat kepada 1.95 melepasi paras bahaya iaitu 1.6 susulan peningkatan kes beberapa hari kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu harian dicatatkan antara 10 hingga 15 kes berbanding 2 hingga 3 kes sebelumnya.

“Ia mengambil kira magnitud perubahan dan menunjukkan peningkatan risiko wabak yang lebih besar sekiranya langkah pencegahan kesihatan awam tidak diambil,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Hisham berkata, biarpun mempunyai kes aktif melebihi 1,000 kes, nilai Rt di Sabah kembali stabil dengan kadar 1.26.

“Namun, ia masih merisaukan kerana melibatkan bilangan kes baharu harian yang tinggi. Nilai Rt mungkin meningkat jika tidak mengambil langkah intervensi kesihatan awam yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, di Kedah pula nilai Rt yang direkodkan adalah 0.65.

“Sejajar dengan penurunan kes di Kedah yang mencatat hanya 2 kes dalam tempoh 4 hari lepas, nilai Rt terkininya menurun dari >1 ke 0.65.

“Ini menggambarkan pematuhan kepada SOP yang berkesan,” katanya.

Mengulas mengenai Rt semasa bagi Malaysia, Hisham berkata ia mencatatkan nilai Rt pada 1.25.

“Adalah penting bahawa masyarakat perlu mematuhi SOP serta langkah intervensi yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.