Saya akan jadi pembangkang yang baik, kata presiden Upko

Madius (tengah) bersama ibu, Belugu Panod (kanan) dan bapanya, Yanggau Gokis. (Gambar Upko)

KOTA KINABALU: Walaupun tewas di DUN Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, Presiden Upko Wilfred Madius Tangau tetap akan menumpukan perhatian untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu sebagai ahli Parlimen Tuaran.

Katanya, beliau menghormati dan menerima keputusan PRN dengan baik, namun sebagai ahli Parlimen Tuaran yang juga termasuk di kawasan Kiulu, khidmat kepada rakyat di situ akan tetap diteruskan.

“Saya mohon kita teruskan perjuangan dan perpaduan, tentunya ada hikmah di sebalik setiap kejadian yang berlaku.

“Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah bermuhasabah dan memperbaiki segala kelemahan serta terus memberikan yang terbaik untuk rakyat.

“Saya akan tetap meneruskan perjuangan dalam mempertahankan hak orang Sabah, saya berjanji akan menjadi pembangkang yang baik untuk rakyat bagi menyuarakan setiap permasalahan yang dihadapi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Madius turut menzahirkan penghargaan kepada pucuk pimpinan, jentera PRN dan individu yang memberikan kepercayaan kepada beliau.

“Saya dengan penuh rendah hati ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pucuk pimpinan parti gabungan Warisan Plus serta semua yang bekerja keras dalam membantu saya sepanjang pilihan raya negeri ini diadakan.

“Sesungguhnya setiap individu dan ahli jentera telah melakukan yang terbaik namun kemenangan tidak menyebelahi kita, segala pengorbanan dan komitmen anda saya hargai,” katanya.

Pada PRN lalu, Madius tewas di DUN Kiulu kepada calon PBS, Joniston Bangkuai dengan majoriti 1,221.

Dalam pertandingan 6 penjuru itu, Joniston memperoleh 4,007 undi manakala Madius meraih 2,786.

Manakala, 4 lagi calon lain terdiri daripada Parti Cinta Sabah, Parti Liberal Demokratik serta 2 calon bebas hilang wang deposit.