Tiada apa-apa pengumuman, kata AirAsia susulan laporan tutup operasi di Jepun

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tony Fernandes berkata syarikat penerbangan itu sedang menilai operasinya di Jepun.

PETALING JAYA: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd menyangkal laporan menyatakan AirAsia Jepun berhasrat menghentikan operasinya berikutan impak pandemik Covid-19.

Jurucakap AirAsia berkata, tiada pengumuman daripada syarikat penerbangan itu buat masa ini, sambil menambah pihaknya tidak memberi komen mengenai spekulasi itu.

“Kita ada polisi yang ketat untuk tidak memberi komen mengenai khabar angin atau spekulasi. Tiada apa-apa pengumuman buat masa ini,” kata jurucakap itu kepada FMT.

Ia susulan laporan Bloomberg hari ini, yang memetik akhbar Yomiuri sebagai berkata AirAsia Jepun memberitahu pihak berkuasa berkaitan yang pihaknya mahu menghentikan operasi syarikat di sana.

Ia berikutan laporan pada pertengahan September mengatakan AirAsia Jepun merancang menghentikan semua penerbangan dari 1 hingga 24 Oktober ekoran permintaan lebih rendah daripada dijangka akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes menafikan perkara itu, dengan menyatakan tiada pelan penangguhan walaupun syarikat penerbangan itu sedang menilai operasinya di Jepun.

Fernandes berkata, syarikat penerbangan itu akan terus memberi tumpuan kepada Asean dan tidak mempunyai rancangan untuk menutup operasinya di Jepun.

“Bukan pada masa ini,” katanya. “Kita tak akan pernah tahu apa akan berlaku (pada masa depan).”

Fernandes sebelum ini berkata, AirAsia berharap mengumpul sebanyak RM2.5 bilion daripada pinjaman bank dan pelabur menjelang akhir tahun ini.

Katanya, syarikat penerbangan itu meninjau operasinya di Jepun, yang merupakan cawangan luar terkecil, kerana ia cuba melawan impak pandemik Covid-19.